JAKARTA: Juara bertahan Datuk Lee Chong Wei mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Super Siri Terbuka Indonesia selepas mengalahkan pemain Hong Kong, Wong Wing Ki, pada pusingan kedua di sini, Khamis.Chong Wei, pemain nombor satu dunia, hanya mengambil masa kurang dari 30 minit untuk menundukkan lawannya 21-7, 21-12 untuk berdepan dengan pemain Vietnam Nguyen Tien Minh pada saingan suku akhir esok. Chong Wei diramal akan mara ke final Ahad ini selepas musuh ketatnya, juara Olimpik, Lin Dan, tersingkir pada pusingan kedua di tangan pemain Jepun Sho Sasaki."Tidak ada perbezaan...sudah tentu Lin Dan menjadi pilihan untuk menentang saya di final tetapi saya belum lagi layak ke final."Saya masih mempunyai beberapa pemain yang handal yang perlu ditempuhi dalam saingan di sini. Saya perlu fokus sehingga mencapai sasaran mempertahankan gelaran saya," kata Chong Wei.Dalam pada itu, beregu utama negara Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat turut mara ke suku akhir bersama beregu wanita negara Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty.Tan dan Koo menumpaskan beregu Jepun Naoki Kawamae/Shoji Sato 20-22, 21-19, 21-18 untuk menentang beregu Indonesia Mohammad Ahsan/Bona Septano pada saingan suku akhir esok.Wong dan Chin mengalahkan beregu Kanada, Charmaine Reid/Nicole Grether 17-21, 21-8, 21-13.Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$600,000 (RM1.815 juta).-BERNAMA