KUALA LUMPUR: Kehadiran atlet bertaraf Olimpik mewakili negara ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shanzen, China dari 11 hingga 23 Ogos dijangka mampu membuahkan pingat emas pertama negara.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata sandaran untuk membawa balik pingat emas pertama negara di kejohanan itu diletakkan kepada jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang. "Saya yakin dengan penyertaan Azizulhasni dan beberapa barisan atlet elit lain akan membantu kontinjen kita memperolehi kejayaan di sana nanti," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.Hou berkata pihaknya juga meletakan sasaran satu pingat perak bagi acara terjun dan satu pingat gangsa daripada sukan lain.Beliau berkata antara atlet elit lain yang akan mengambil bahagian pada temasya kali ini ialah Pandelela Renong dan Leong Mun Yee (terjun), Bryan Nickson Lomas (terjun), Khoo Cai Lin (renang), Zulfadli Zulkifli (badminton), Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz serta Chen Chu Sian (memanah) dan Natasha Ezzra Abu Bakar (lawan pedang)."Ini adalah kontinjen terbesar yang kita hantar ke Universiade iaitu seramai 125 atlet dan 25 orang pegawai," katanya.Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 jenis sukan iaitu renang, terjun, badminton, catur, berbasikal, bola sepak, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan taekwondo.Pencapaian terbaik atlet Malaysia pada temasya Universiade ialah pada tahun 2007 di Bangkok, Thailand melalui Chee Chew Chan yang memenangi pingat perak dalam acara taekwondo.Sementara itu dalam perkembangan lain, Hou berkata Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) akan memberi biasiswa pengajian kepada atlet yang layak menyambung pelajaran mereka di institut pengajian tinggi awam (IPTA) di dalam negara."Kelayakan minimum yang diletakan adalah atlet tersebut sekurang-kurangan pernah memenangi pingat emas di kejohanan Sukan Malaysia dan kejohanan sukan kebangsaan dan mereka yang layak boleh membuat pemohonan secara online dengan KPT."KPT juga ada menawarkan elaun bulanan dan elaun tahunan kepada mahasiswa yang layak dan juga beberapa keistimewaan lain seperti jadual kuliah yang anjal dan lain-lain lagi," katanya.Beliau berkata ianya adalah salah satu daripada usaha KPT untuk menjadikan 30 peratus atlet negara terdiri daripada mahasiswa.-BERNAMA