suria

Jumlah Anggota Kontinjen Ke Sukan Sea Ditentukan Hujung Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Jumlah sebenar anggota kontinjen Malaysia ke Sukan SEA di Indonesia pada November hanya akan ditentukan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan pada hujung bulan ini.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata Malaysia telahpun menghantar anggaran jumlah keseluruhan anggota kontinjennya, iaitu 1,000 orang kepada pihak penganjur.

"Bagi jumlah sebenar anggota kontinjen, Jawatankuasa Pemilihan akan bermesyuarat pada 27 Julai ini untuk menilai atlet yang layak ke Indonesia serta rayuan-rayuan yang akan dikemukakan," katanya, Selasa.

MOM sebelum ini menjangka anggota kontinjen negara akan disertai 650 atlet dan pegawai berdasarkan jumlah sukan yang akan disertai Malaysia pada temasya yang akan berlangsung dari 11 hingga 25 Nov ini di Jakarta dan Palembang.

Sieh berkata jumlah 650 atlet itu adalah sederhana berdasarkan jumlah sukan yang disertai Malaysia di Indonesia.

Indonesia menawarkan 545 acara menerusi 44 jenis sukan termasuk sukan ekstrem dan tradisional yang tidak akan disertai Malaysia seperti luncur udara (paragliding), renang sirip (fin swimming), perlumbaan bot tradisional, kasut roda, bridge, vovinam, kempo dan gusti.

Rekod jumlah terbanyak anggota kontinjen Malaysia ke temasya dwi-tahunan itu ialah pada edisi 2009 di Korat, Thailand dengan kekuatan seramai 1,139 atlet dan pegawai.

Penyertaan kedua terbesar ialah pada edisi 1997 di Jakarta dengan kekuatan 749 anggota dan penyertaan ketiga ialah pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand dengan 658 anggota.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain