SINGAPURA: Australia berjaya mempertahankan kejuaraan Bola Jaring Dunia ke-13 apabila mengalahkan New Zealand 58-57 pada masa tambahan perlawanan akhir di Stadium Tertutup di sini Isnin.Perlawanan sengit antara dua gergasi sukan itu terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan apabila Australia menyamakan kedudukan 46-46 selepas selesai masa penuh perlawanan. Penjaring muda Caitlin Basset muncul wirawati pasukan Australia apabila menyumbat gol kemenangan pada saat-saat akhir masa tambahan 14 minit tersebut.Kedua-dua pasukan itu melangkah ke perlawanan akhir apabila masing-masing mencapai kemenangan mudah ke atas England dan Jamaica pada perlawanan separuh akhir, Sabtu.Australia dan New Zealand bertemu pada perlawanan akhir bagi kali kesembilan sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1963.Pada edisi lepas di Auckland, New Zealand, pada 2007, Australia mengalahkan pasukan tuan rumah 42-38.Australia telah mejuarai kejohanan dunia itu sebanyak enam kali manakala lawannya itu memenangi dua kali. - BERNAMA