SEREMBAN: Cuaca mendung membawa tuah kepada bintang golf dari Bangladesh, Siddikur Rahman apabila muncul juara edisi ketujuh Kejohanan Golf Jemputan Masters Negeri Sembilan 2011 berakhir di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) Ahad.Dua eagle di lubang 11 dan 18 disempurnakan oleh Siddikur terus melenyapkan saingan terdekat Airil Rizman Zahari, Danny Chia dari Malaysia serta Antonio Lascuna dari Filipina yang ketika itu berusaha memburu gelaran juara tahun ini. Begitupun, harapan ketiga-tiga saingan itu terus lenyap sejurus sahaja Siddikur melakukan pukulan sungkit dari jarak 15 meter di lubang terakhir yang terus masuk ke lubang untuk menghasilkan eagle kedua.Catatan tujuh bawah par 65 dan keseluruhan mengumpul 17 bawah par 271 membolehkan juara Terbuka Brunei 2010 meraih hadiah wang tunai RM78,750 (AS$18,000) selaku juara dengan kelebihan empat pukulan."Eagle di lubang terakhir cukup menarik dan saya tidak menjangkakan pukulan sungkit dari jarak 15 meter Par 5 itu terus masuk ke lubang. Kemenangan ini amat menggembirakan setelah tiga kali saya beraksi di sini hanya tahun ini saya berjaya muncul juara," kata Siddikur.Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.Lebih menarik catatan Siddikur pemain yang memulakan karier profesional pada 2007 itu tanpa sebarang bogey sambil membenam lima birdie di lubang satu, tiga, empat, sembilan dan 14.Bagaimanapun, kekecewaan peminat tempatan terubat apabila pemain nombor satu negara, Danny Chia mencatat dua bawah par 70 untuk mengumpul 13 bawah par 275 bagi membolehkan beliau muncul naib juara ketinggalan empat pukulan di belakang Siddikur."Saya tidak bermain dengan corak permainan sebenar tetapi masih berupaya melakukan catatan bawah par. Cuma saya tidak mampu menyaingi kehebatan Siddikur," kata Danny Chia.Bintang utama negara itu membenam enam birdie di lubang dua, lapan, 11, 16 dan 18 serta dua bogey di lubang sembilan dan 17.Selaku naib juara Chia membawa pulang hadiah wang tunai RM54,000 (AS$18,000).Sementara itu, dua lagi pemain negara, Mohd Rashid Ismail dan Shaaban Hussin masing-masing terikat di tempat ketiga dengan catatan 12 bawah par 276 pukulan.Kedua-dua pemain tersebut berkongsi hadiah wang tunai RM30,250 (AS$9,125).Bagaimanapun agak malang buat pendahulu hari ketiga, Airil Rizman apabila sekadar melakukan 74 pukulan untuk keseluruhan membuat 11 bawah par 277 berkongsi tempat kelima bersama-sama Udorn Duangdecha dan Attaphon Prathummanee dari Thailand. - BERNAMA