suria

Vieira Gantung But

BINTANG Perancis Patrick Vieira (gambar) akhirnya meninggalkan karier selaku pemain bola sepak profesional dan bersedia memainkan peranan sebagai penasihat kelab Manchester City.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab itu, Manchester City menyatakan rasa bangga untuk mengumumkan Vieira menerima tugas baru sebagai eksekutif pembangunan bola sepak kelab yang berpangkalan di Eastland itu.

"Beliau akan terlibat dengan program tanggungjawab sosial korporat sama ada di UK atau luar negara dan bekerjasama dengan rakan komersial City.

"Beliau juga akan memainkan peranan besar dalam pembangunan bakat muda di kompleks Platt Lane dan menjadi mentor dalam program akademi Multiskills," kata kenyataan itu lagi.

Vieira menyertai bekas pemain Arsenal, David Platt, Attilio Lombardo dan Brian Kidd untuk bekerjasama dengan Mancini.

Dia akan melaporkan diri kepada Ketua Pegawai Operasi Bola Sepak Brian Marwood.

Marwood berkata, Patrick merupakan pemain profesional dan mempunyai pengalaman luas untuk dikongsi bersama bakat muda.

"Kami amat berbangga untuk memperkenalkan beliau sebagai eksekutif pembangunan bola sepak baru City," ujarnya.

Vieira menandatangani kontrak bersama City pada Januari 2010 dan hanya melakukan 24 penampilan bersama City.

Keputusan beliau untuk menggantung but sekaligus menamatkan penampilannya sebagai salah seorang pemain tengah digeruni dalam bola sepak dunia.

Bakat Vieira dicungkil dari Cannes dan beliau dicalonkan sebagai kapten pada usia 19 tahun sebelum berhijrah ke gergasi bola sepak Itali, AC Milan pada Januari 1996.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ARSENAL 4 MALAYSIA 0

Artikel Lain