suria

11,000 Sertai Larian Hari Olimpik Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Lebih 11,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai Larian Hari Olimpik 2011 di Dataran Merdeka seawal 8 pagi tadi.

Jumlah itu mengatasi bilangan 7,000 peserta tahun lalu sekaligus mencatatkan rekod penyertaan tertinggi bagi acara tersebut yang kini mencecah edisi kelapan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bilangan penyertaan yang bertambah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia, khususnya warga Kuala Lumpur, semakin ramai mengamalkan budaya sukan dan gaya hidup aktif.

"Ini merupakan satu perkembangan yang positif, yang membayangkan rakyat Malaysia lebih gemar pada aktiviti yang berfaedah dan yang memupuk semangat kekeluargaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara melepaskan para peserta.

Larian sejauh tujuh kilometer itu dibahagikan kepada 13 kategori termasuk Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita serta dua kategori baru iaitu Kumpulan (empat orang peserta berumur 15 tahun ke atas) dan Keluarga (dua orang dewasa dan tiga orang kanak-kanak berumur 7-14 tahun).

R.Venugopal mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjuarai Terbuka Lelaki dengan catatan masa 24 minit 48 saat manakala Yuan Yu Fang dari Kuala Lumpur mengungguli Terbuka Wanita dengan 29 minit 27 saat.

Venugopal dan Yuan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 daripada jumlah keseluruhan RM17,975 yang ditawarkan, berserta baucer McDonalds dan kemeja-T.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain