KUALA LUMPUR: Kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, akan membawa skuad penuh bagi perlawanan persahabatan menentang pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Khamis ini.Menurut promoter, ProEvents International, antara pemain yang diturunkan ialah Didier Drogba, Frank Lampard, John Terry, Fernando Torres, Nicolas Anelka, Ashley Cole, Florent Malouda, Petr Cech dan Yossi Benayoun. "Peminat bola sepak tempatan sudah pasti mendapat sajian terbaik dengan kehadiran antara pemain terbaik dunia dalam pasukan Chelsea," kata ProEvents dalam kenyataan di sini Sabtu.Perlawanan persahabatan itu akan turut menyaksikan pengurus Andres Villas-Boas dari Portugal mengendalikan pasukan 'Blues' untuk buat pertama kali selepas mengambil tugas dari Carlo Ancelotti.Dalam kenyataan sama itu, Villas-Boas berkata peminat dapat menyaksikan persembahan menghiburkan dari skuadnya dengan menjanjikan setiap bintang akan berpeluang menunjukan kelibat masing-masing pada perlawanan itu.Katanya pasukan itu sekurang-kurangnya dapat menunjukkan aksi menarik dan menghiburkan bagi membalas sokongan yang diberikan oleh peminat terhadap pasukan itu."Berikutan sokongan peminat, adalah penting bagi kelab memperluaskan pengaruhnya di pasaran Asia serta di Malaysia," katanya.Beliau berharap ramai peminat akan membanjiri stadium pada hari perlawanan sama seperti lawatan terakhir mereka di Malaysia pada 2008.- BERNAMA