suria

Malaysia Hos Kejohanan Bola Sepak Gaya Bebas Pertama Dunia

PETALING JAYA: Seramai 16 pakar gaya bebas bertaraf dunia akan mempamerkan pelbagai aksi dan kemahiran menimang bola pada pertandingan sulung Jelajah Kejohanan Bola Sepak Gaya Bebas Dunia 2011 (WFFC) di Sunway Pyramid, di sini, pada 17 dan 18 September ini.

Presiden Persekutan Bola Sepak Gaya Bebas (F3), Daniel Wood, berkata peserta tersebut adalah dari Amerika Syarikat, Sweden, England, Hungary, Australia, Korea Selatan, Perancis, Poland, Afrika Selatan, Brazil dan Jepun.

Antara peserta utama kejohanan dunia itu ialah juara Nike Korea, Jeon Kwon, juara Afrika Kamal Ranchod dan juara Eropah, Philip Warren Gertsson.

"Rutin bola sepak gaya bebas ini tidak mempunyai peraturan di mana pemain mempamerkan pelbagai aksi dan kemahiran menimang bola dengan menggunakan mana-mana bahagian badan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kejohanan itu di Taylor's University Lakeside Campus, di Subang Jaya, dekat sini, Selasa.

Wood berkata kejohanan sulung itu bertujuan menggalakkan bola sepak berkaitan sukan berikutan kejayaan skuad Malaysia merangkul Piala AFF Suzuki tahun lepas dan kini bersaing pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 dan Piala Dunia 2014.

Katanya Jelajah WFFC akan menjadi permulaan kepada siri sepenuh kejuaraan dunia di mana 16 pakar gaya bebas akan menjelajah 10 bandar raya setiap tahun untuk berentap merangkul gelaran juara dunia.

"Idea jelajah bola sepak gaya bebas ini adalah seperti pertandingan lumba kereta Formula 1," kata Wood.

Semasa melancarkan kejohanan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bola sepak gaya bebas adalah mengenai kemahiran dan kreatif.

"Anda tidak memerlukan padang atau rakan pemain...apa yang diperlukan dalam sukan ini adalah sebiji bola dan gaya menarik menimang bola," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain