suria

Perlawanan Chelsea-Malaysia Pikat Peminat Fanatik Dari Myanmar

SEPANG: Sekumpulan 15 orang peminat fanatik Chelsea dari Yangon, Myanmar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa untuk menonton perlawanan persahabatan antara 'The Blues' dengan skuad Olimpik Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Ketua pasukan, Zaw Htun, 38, berkata mereka sangat teruja untuk menonton pasukan Chelsea di bawah bimbingan jurulatih baru Andres Villas-Boas dan pemain muda skuad itu Patrick Van Aanholt, Ryan Bertrand, Daniel Sturridge, Billy Clifford dan Slobodan Rajkoviv.

"Memandangkan Malaysia adalah salah satu tempat untuk Siri Jelajah Asia pasukan Chelsea, kami mengambil peluang untuk datang ke sini.

"Kami juga mahu melihat gaya permainan barisan bintang Chelsea seperti Didier Drogba, Nicolas Anelka dan Fernando Torres menentang pasukan Malaysia," katanya kepada Bernama di KLIA.

Zaw berkata satu lagi kumpulan seramai 32 peminat Chelsea dari Myanmar akan tiba esok, untuk menyaksikan perlawanan itu.

Thein Tin, 26, berkata beliau mahu menyaksikan gaya pemain Chelsea di depan mata, memandangkan stesen televisyen di negara itu tidak menayangkan siaran langsung untuk Siri Jelajah Asia oleh kelab ternama Liga Perdana Inggeris itu.

"Saya telah mengikuti pasukan ini untuk beberapa tahun dan berharap pengurus baru akan membimbing The Blues untuk memenangi EPL Cup musim depan yang bermula pada Ogos," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain