PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai jadual perlawanan, tarikh serta tempat bagi saingan bola sepak pada Sukan Sea di Indonesia bulan depan.Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, mengikut jadual asal, perlawanan pembukaan akan berlangsung pada 7 November dan akhir pada 22 November. "Kita masih belum terima sebarang pengesahan walaupun telah menghubungi pihak jawatankuasa pertandingan Sukan Sea."Dan sehingga itu kita tidak boleh berbuat apa-apa keputusan mengenai skuad Harimau Muda kerana pada 23 November ini juga mereka turut menghadapi Kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Syria."Kita ada menghantar surat meminta agar pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat menunda tarikh perlawanan (kelayakan Olimpik) dari 23 ke 24 November."Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), setiap pasukan perlu berehat selama 48 jam sebelum mengharungi perlawanan seterusnya."Kami berharap perlawanan akhir Sukan Sea boleh diadakan pada 22 November dan pihak AFC boleh menunda tarikh pertemuan dengan Syria pada 24 haribulan agar pasukan kita dapat berehat sehari," katanya selepas sidang media Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM 2011, Isnin.Azzuddin berkata, pada 16 Oktober ini, Mesyuarat Majlis AFF Kali ke-3 (Persekutuan Bola Sepak Asean) akan diadakan."Kami berharap selepas mesyuarat itu, kita boleh mendapatkan pengesahan mengenai jadual penuh perlawanan, tarikh dan tempat untuk Sukan Sea."Buat masa sekarang, pasukan yang dikendalikan Ong Kim Swee ini menjalani latihan seperti biasa dan akan turut mengadakan perlawanan persahabatan nanti," katanya.Pasukan muda negara bakal berdepan dengan dua kejohanan penting pada November ini iaitu misi mempertahankan pingat emas pada Sukan Sea dan seterusnya tugas mengutip mata pada perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik 2012 bagi zon Asia.