KUALA LUMPUR: Pemain senior Alex Liew akan mengetuai skuad boling lelaki seramai enam peserta bagi menggalas cabaran negara pada edisi ke-26 Sukan SEA Indonesia, bulan depan.Selain Alex, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) turut memilih Aaron Kong, Adrian Ang, Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Muhammmad Nur Aiman Muhammad Khairuddin dan Zulmazran Zulkifli. Bagaimanapun, ketua jurulatih negara Holloway Cheah berkata bagi skuad wanita, hanya pemenang pingat emas tunggal negara pada Kejohanan Wanita Dunia di Hong Kong awal bulan ini, Jacqueline Jenelee Sijore, telah mengesahkan tempat."Lima pemain wanita lain bagi Sukan SEA akan diumumkan hujung bulan ini," katanya.Skuad boling negara muncul juara Sukan SEA acara itu pada edisi 2007 di Korat, Thailand, dengan merangkul empat emas, tiga perak dan enam gangsa.Bagaimanapun, acara boling tidak dipertandingkan pada edisi lepas di Laos, pada 2009. Sukan SEA Indonesia akan diadakan di Jakarta dan Palembang, dari 11 hingga 24 November ini.-BERNAMA