KUALA LUMPUR: Pelumba wildcard negara bagi kategori 125cc, Mohd Farid Badrul Hisham mahu memberi cabaran kepada pelumba senegara, Zulfahmi Khairuddin yang beraksi dalam kategori sama di kejohanan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Sepang (SIC) pada 21 hingga 23 Oktober ini.Mohd Farid, pelumba kelahiran Kajang yang akan membawa jentera Derby di bawah Pasukan AirAsia-Sepang International Circuit Racing, berkata pengalaman beraksi secara penuh dalam Malaysian Super Series (MSS) dan Kejohanan Superbike British di England sedikit sebanyak membantunya. Beliau yang kini beraksi dalam siri penuh British Superbike Championship bagi kategori Supersport 600cc bersama pasukan MSS Colchester Kawasaki Racing Team, menamatkan perlumbaan di petak kedua Outlan Park Racing Circuit baru-baru ini."Saya akui Zulfahmi lebih berpengalaman dalam kelas 125cc dan sudah dua tahun menyertai MotoGP, bermula daripada program wildcard."Walaupun kurang berpengalaman dalam kelas 125cc ini, saya akan gunakan pengalaman dalam kelas 600cc untuk memberikan saingan pada aksi sulung saya bersama Zulfahmi," katanya.Pelumba berusia 18 tahun itu mengakui berasa gementar untuk menghadapi saingan dalam MotoGP."Perasaan gementar itu ada, tetapi saya tidak mahu ia mengganggu tumpuan menghadapi saingan pertama seumpamanya dalam MotoGP. Saya akan menimba pengalaman daripada Zulfahmi," katanya.Selain Mohd Farid, Hafizh Syahrin Abdullah dan seorang lagi pelumba yang pernah membuat kemunculan pada MotoGP 2010, Mohd Zamri Baba akan mewakili Petronas Two Wheel Motor Racing bagi mengisi dua slot wildcard kelas Moto2."Sasaran saya adalah untuk berada dalam kelayakan MotoGP dan menamatkan perlumbaan. Saya mahu realistik dengan apa yang saya buat masa ini," kata Mohd Farid yang menyertai bidang itu sejak berusia 14 tahun.Beliau berkata motosikal yang bakal digunakan pada perlumbaan akan diketahui pada sesi latihan bermula esok di Litar Sepang."Walaupun perlumbaan sama, tetapi jentera yang digunakan dalam saingan 125cc dan 600cc ini berlainan di mana kuasa dan cara tunggangan tidak sama. Saya akan biasakan diri dengan jentera ini Jumaat," katanya.Litar Sepang akan menjadi hos kedua terakhir daripada keseluruhan 17 siri perlumbaan MotoGP 2011 sebelum menutup tirai kalendarnya di Litar Valencia, Sepanyol pada 4 hingga 6 Nov.-BERNAMA