KUALA TERENGGANU: Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSTNT) memecah tradisi apabila menganjurkan kejohanan sepak takraw tertutup wanita Terengganu awal November ni.Presidennya Mohd Shapian Ali berkata kejohanan itu bertujuan menguji sejauh mana sambutan dan kemampuan pemain-pemain wanita di negeri ini dalam sukan yang dikuasai kaum lelaki itu. "Kami akan cuba mencipta sejarah dan ini merupakan kali pertama kejohanan sepak takraw wanita dianjurkan di negeri ini," katanya di sini, Khamis.Mohd Shapian berkata kejohanan itu juga sebagai persediaan Terengganu untuk menghadapi Sukma tahun depan dan ini merupakan gelanggang terbaik bagi mencari bakat.Beliau berkata kejohanan ini mungkin akan dijadikan acara tahunan pada masa akan datang memandangkan sukan itu mula diminati oleh kaum wanita di negeri ini. Mohd Shapian berkata beliau yakin kejohanan itu akan mendapat sambutan daripada pasukan-pasukan sepak takraw wanita di Terengganu terutamanya daripada sekolah-sekolah di negeri itu.Dalam masa yang sama, beliau berkata PSTNT akan menganjurkan kejohanan sepak takraw bagi merebut Pala Pesiden PSTNT sebagai penutup tirai aktiviti tahun 2011.Mohd Shapian berkata kejohanan yang bertujuan menggalakan orang muda bermain sepak takraw itu terbuka kepada semua tanpa mengira umur.PSTNT sedang mencari bakat baru untuk mewakili negeri dalam pelbagai kejohanan kebangsaan tahun depan, katanya. - BERNAMA