suria

Chong Wei Cipta Kejuaraan Ke-10 Berturut-Turut

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei menjuarai Kejohanan Badminton Sirkit Grand Prix Kebangsaan buat kali ke-10 berturut-turut di Stadium Juara Bukit Kiara, Sabtu.

Perseorangan nombor satu dunia itu mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk menundukkan pemain muda berusia 21 tahun Goh Soon Huat 21-11, 21-5.

"Saya telah capai sasaran saya kali ini dan berharap BAM (Persatuan Badminton Malaysia) faham dengan keputusan saya untuk tidak menyertai pertandingan ini pada tahun depan," katanya yang membawa pulang wang tunai RM7,000 dan piala pusingan.

Pemain kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu kini menumpukan perhatian pada Kejohanan Terbuka Denmark yang bermula Selasa hingga 23 Okt depan.

"Saya dijangka bertemu dengan Chen Jin (pemain China) pada suku akhir di Denmark, dan yang penting adalah latihan. Saya pentingkan poin untuk layak ke Olimpik nanti," katanya kepada media selepas perlawanan.

Chong Wei turut berharap dapat meraikan hari jadinya yang ke-29 pada 21 Oktober ini dengan meraih kemenangan di Denmark.

Sementara itu, Lydia Cheah menjuarai kategori perseorangan wanita selepas menewaskan lawannya Tee Jing Yi 21-14, 21-17. Dalam beregu lelaki, pertembungan sengit antara Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Ong Soon Hock dan Lutfi Zaim/Vountus Indra Mawan akhirnya memihak kepada Mohd Fairuzizuan dan Ong dengan keputusan 19-21, 21-15, 21-19.

Beregu kebangsaan Vivian Hoo/Won Khe Wei pula mengungguli acara beregu wanita apabila mengetepikan saingan Chin Eei Hui/Goh Liu Ying 17-21, 21-15, 21-15, manakala bagi beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menumpaskan Tan Wee Kiong/Woon Khe Wei 21-15, 21-14 untuk membawa pulang trofi kemenangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain