suria

Malaysia Tewaskan Nepal 2-0

KELANA JAYA: Skuad bawah 23 Malaysia mengalahkan skuad kebangsaan Nepal 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, petang Sabtu.

Perlawanan pada babak pertama lebih memihak kepada skuad negara, namun peluang untuk menjaringkan gagal diguna sebaiknya oleh para pemain.

Wan Zaharul Nizam dan Baddrol Bakhtiar melakukan cubaan seawal minit pertama namun gagal untuk menembusi gawang Nepal yang dikawal baik oleh penjaga gol Bikash Malla.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee terus melakukan serangan bertali arus namun ternyata gawang gol Nepal sukar ditembusi.

Selepas terlepas beberapa peluang pada babak kedua, skuad negara akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-81 menerusi jaringan Izzaq Faris Ramlan diikuti jaringan kedua oleh Yong Kuang Yong pada minit ke-93.

Kim Swee berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan anak didiknya walaupun mereka gagal menonjol pada babak pertama.

"Misi kita pada petang ini dikira berjaya apabila dapat menewaskan skuad kebangsaan Nepal meski pun beraksi tanpa tunggak utama," katanya.

Beliau berkata skuadnya dapat mempelajari sesuatu yang baru pada perlawanan hari ini apabila berdepan dengan pasukan yang menggunakan corak permainan bertahan.

"Kita perlu cari jalan yang lebih baik bagi mencari peluang gol apabila berdepan dengan pasukan yang menggunakan corak permainan yang sama pada masa hadapan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain