KUALA LUMPUR: Jurulatih kebangsaan P.Arivalagan yakin skuad karate yang akan beraksi di Sukan SEA Jakarta bulan depan mampu merangkul sekurang-kurangnya enam pingat emas.Meskipun angka itu melebihi sasaran rasmi empat emas Persekutuan Karate Malaysia, beliau tetap yakin kerana jangkaan berdasarkan prestasi semasa anak buahnya yang telah menjalani persediaan rapi termasuk menyertai beberapa kejohanan besar. "Secara peribadi, sebagai jurulatih saya percaya kita mampu dapat enam (emas). Malah kesemua 10 kategori yang kita sertai mempunyai potensi untuk emas," katanya.Beliau berkata pihaknya kini membuat persediaan akhir termasuk mengatur strategi bagi menghadapi lawan, khususnya pencabar utama Vietnam dan Indonesia."Vietnam akan menghantar barisan pelapis memandang ramai atlet senior mereka sudah bersara...melalui pemerhatian saya pada kejohanan di Istanbul bulan lepas, atlet kita termasuk pelapis lebih mantap daripada pengganti mereka."Indonesia juga mempunyai atlet karate yang handal apatah lagi sukan itu merupakan sukan yang popular di sana, namun saya yakin atlet kita sudah lebih ke hadapan," katanya yang turut berharap sistem penjurian di Jakarta kelak tidak menyebelahi skuad tuan rumah.Seramai 21 atlet negara termasuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 G. Yugneswary, G. Yamini dan Jamalliah Jamaludin akan bertanding pada temasya itu menerusi kategori kumite dan kata.Skuad terbabit akan berlepas ke Jakarta pada 10 Nov ini manakala acara dijadual berlangsung dari 12 hingga 14 November.Sukan karate antara penyumbang utama pingat emas kepada kontinjen negara dalam pelbagai temasya termasuk enam pada Sukan SEA di Laos dua tahun lepas dan dua pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China pada Disember lepas.-BERNAMASENARAI ATLET KARATE KE SUKAN SEA: Kategori Kata (Individu dan Berpasukan):Lelaki: Kam Kah Sam, Leong Tze Wai dan Lim Chee Wai. Wanita: Thor Chee Yee, Celine Lee Xin Yi dan Khaw Yee Voon. Kategori Kumite (Individu dan Berpasukan):Lelaki: Loganesha Rao (55kg), L. Kunasilan (60kg), Shahrudin Jamaludin (67kg), K. Teagarajan (75kg), Mohd Hatta Mahmud (84kg) dan V. Devaraj (84kg ke atas). Wanita: G. Yugneswary (50kg), A. Nisha (55kg), G.I. Yaaminii (61kg), Shakila Salni Jefry Krishnan (68kg), Jamalliah Jamaludin (68kg ke atas). Kategori Kumite (Berpasukan sahaja):Lelaki: Perkash Arjuna dan Uriel French. Wanita: Sri Sharmini dan C. Malani.