JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin memberi jaminan, keselamatan anggota kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada November ini adalah keutamaan pihaknya.Beliau berkata disebalik jaminan daripada pihak berkuasa Indonesia sendiri mengenai keselamatan semua kontinjen yang menyertai temasya tersebut, pihak kedutaan Malaysia juga berusaha agar anggota kontinjen Malaysia berasa selamat dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika bertanding. "Begitu juga dengan penyokong Malaysia. Cuma kita perlulah bersopan dan duduk bersama-sama di sesuatu venue bagi membolehkan pihak kedutaan senang memberi pertolongan yang diperlukan," katanya.Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan rombongan 25 anggota Persatuan Penulis- Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang melakukan lawatan pra-Sukan SEA ke Jakarta bermula Selasa hingga Khamis ini.Rombongan yang diketuai presiden SAM, Ahmad Khawari Isa itu bertujuan meninjau persiapan tuan rumah sebelum berlangsung temasya dwitahunan itu yang diadakan di dua venue utama, Jakarta dan Palembang dari 11 hingga 22 November.Syed Munshe berkata walaupun sebelum ini terdapat segelintir rakyat republik ini yang menunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di sini namun tindakan itu bagi beliau merupakan tindakan yang `terasing'.Katanya tindakan tersebut hanya berlaku di hadapan Kedutaan tetapi mereka tidak mengganggu rakyat Malaysia yang lain.Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang kerap menjadi sasaran demonstrasi oleh sekumpulan penduduk Indonesia.Terakhir pada 13 Oktober lepas, sekumpulan penunjuk perasaan yang menggelar kumpulan mereka Laskar Merah Putih mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan negara atas dakwaan Malaysia telah mengambil secara haram lebih 1,000 hektar tanah di Kalimantan Barat, yang bersempadan dengan Sarawak."Malah pada pertemuan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Mataram, Lombok pada 20 Oktober, pemimpin Indonesia itu telah mengingatkan rakyatnya tidak bertindak melampau dalam meluahkan rasa tidak senang mereka menerusi demonstrasi sehingga melukai hati negara jiran, Malaysia," katanya.Syed Munshe berkata jaminan itu juga perlu dipanjangkan ketika berlangsungnya Sukan SEA nanti.Hubungan antara kedua-dua negara katanya amat erat dan Sukan SEA merupakan medium terbaik untuk merapatkan lagi hubungan tersebut, bukan sahaja di antara Malaysia dengan Indonesia tetapi juga dengan negara anggota Asean yang lain."Pihak berkuasa Indonesia juga memberi kawalan keselamatan yang baik dan bagi Sukan SEA, saya percaya Indonesia selaku pengerusi Asean akan berusaha menjadikan temasya kali ini yang terbaik pernah dianjurkan."Jadi saya minta anggota kontinjen Malaysia tidak perlu risau mengenai aspek keselamatan ketika temasya ini berlangsung," katanya. - BERNAMA