SHAH ALAM: Polis telah membuat persiapan penuh bagi memastikan tahap keselamatan terkawal pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu di Stadium Shah Alam malam ini.Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Salleh Abdul Rashid berkata PDRM mengerah 1,410 anggota polis dan anggota Ikatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjamin keselamatan di dalam dan luar stadium sepanjang perlawanan itu. "Kita bercadang menambah lagi kekuatan ini dan tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan kerana tidak mahu kejadian seperti perlawanan-perlawanan terdahulu berulang," katanya pada sidang media mengenai kawalan keselamatan di Stadium Shah Alam, pada Jumaat. Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.Salleh, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, berkata pihak polis akan mengetatkan kawalan keselamatan di tahap maksimum berdasarkan kepada kehendak semasa."Kita (polis) memerlukan kerjasama penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi arahan keselamatan dan mempamerkan disiplin tinggi untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku."Malah pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika dapat menghidu sebarang protes bantahan atau demonstrasi yang dilakukan oleh kedua-dua penyokong pasukan di dalam atau luar stadium," katanya.Kira-kira 70,000 penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu dijangka membanjiri stadium itu seawal 4 petang esok bagi menyaksikan pertarungan antara pasukan Penyu dan Rusa itu.