suria

Indra Putra Dijangka Kembali Menyarung Jersi Kelantan

KOTA BAHARU: Pemain veteran Indra Putra Mahyuddin dijangka menyertai semula skuad Kelantan pada musim akan datang dan ia bakal menjadi kenyataan apabila senarai lengkap skuad The Red Warriors diumumkan Selasa depan.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata senarai nama pemain akan diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

"Setakat ini saya tidak boleh menyebut nama-nama itu dan anda boleh bertanyakan sendiri kepada Presiden Kafa pada majlis pengumuman itu nanti dan kesemuanya akan terjawab," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pasukan The Red Warriors di sini, Khamis.

Majlis penyampaian sumbangan itu dilakukan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Mej (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.

Dua lagi pemain yang turut dikatakan akan menyertai skuad itu ialah Nor Farhan Muhamad dan Azizi Matt Rus.

Ketiga-tiga mereka pada musim ini menyertai T-Team dan adalah bekas pemain Kelantan pada musim lepas yang membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia.

Bagi edisi musim depannya, Kelantan turut mendapat sentuhan semula bekas ketua jurulatihnya, Peter James Butler yang telah pun mula melatih pasukan tersebut.

Mengulas prestasi Kelantan pada musim ini, Azman berkata walaupun gagal beraksi sehingga ke final Piala Malaysia, namun prestasi pasukannya jauh lebih baik pada musim lalu.

"Tahun ini kita dapat dua piala iaitu Piala Sumbangsih dan Piala Liga Super dan naib juara Piala FA. Ini prestasi terbaik sebenarnya," katanya.

Pada majlis itu, kerajaan Kelantan memberikan sumbangan sebanyak RM84,000 kepada semua pemain dan pegawai pasukan Kelantan. -BERNAMA

Artikel Lain