suria

Standard Penganjuran Sukan Sea Perlu Dipertingkatkan - Naim

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya mutu penganjuran Sukan Sea dinaik taraf agar temasya, yang diperkenalkan pada 1959 itu, terus utuh sebagai kejohanan sukan paling berprestij di rantau ini.

Mekanisma yang lebih realistik harus dicari agar mutu dan tahap penganjuran Sukan SEA terus unggul.

Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Indonesia 2011 Datuk Naim Mohamad berkata persoalan bagi mengubah hala tuju Sukan SEA dibangkitkan pada seminar membabitkan ketua kontinjen negara di Jakarta, Ogos lepas.

"Seminar itu bersetuju untuk meningkatkan taraf Sukan SEA agar ia boleh dijadikan sebagai medan bagi atlet memburu tiket ke kejohanan lebih tinggi seperti Olimpik mahupun kejohanan bertaraf benua lain," katanya ketika ditemu ramah dalam program 'Kerusi Panas' Bernama Radio 24.

Beliau berkata jika platform Sukan SEA dapat dimanfaatkan dengan baik, ia akan membuka ruang lebih besar kepada atlet negara Asia Tenggara untuk mencari tempat ke peringkat Olimpik.

"Jika dibandingkan, peluang atlet-atlet Eropah beraksi di Olimpik adalah lebih besar kerana mereka mempunyai banyak kejohanan yang diiktiraf oleh badan Olimpik dunia," katanya lagi.

Naim turut mencadangkan hanya barisan atlet pelapis negara diberi peluang beraksi di peringkat Sukan SEA manakala atlet elit beraksi dalam kejohanan lebih tinggi.

Pendekatan itu akan membantu kerajaan melahirkan atlet pelapis berkaliber yang berkeupayaan pada masa depan, katanya.-BERNAMA

Artikel Lain