suria

Sukan Sea: Tujuh Bulan Berehat, Hup Wei Bangkit Raih Emas

PALEMBANG: Setelah tujuh bulan 'berehat' akibat kecederaan, atlet lompat tinggi negara lelaki Lee Hup Wei bangkit dengan merangkul emas bagi acara tersebut pada Sukan Sea ke-26 di Stadium Olahraga di sini, Isnin.

Hup Wei, 24, melakukan lompatan 2.15 meter mengatasi pencabar terdekat Torlarp Sudjunta dari Thailand, yang meraih perak dengan catatan 2.10 meter manakala gangsa milik atlet Vietnam Dao Van Thuy (2.08 meter).

Pemegang rekod kejohanan itu bagaimanapun kurang berpuas hati kerana gagal mencapai sasaran 2.20 meter.

Katanya, dia perlu mencapai ketinggian itu untuk kembali ke prestasi sebelum ini dan seterusnya mencuba untuk kelayakan Olimpik tahun depan.

"Mungkin saya menang hari ini kerana saingan yang tak berapa kuat. Masih banyak yang perlu saya baiki untuk pergi lebih jauh lagi," katanya yang hanya mula berlatih tiga bulan lepas, iaitu setelah pulih dari kecederaan buku lali.

Hup Wei memegang rekod kebangsaan 2.27 meter yang dilakukan di Olimpik Beijing 2008.

Katanya, dia masih perlu berlatih tujuh hingga lapan bulan lagi sebelum dapat kembali pada rentak lompatan sebelum ini.

Anak kelahiran Dengkil itu berkata sebelum ini, beliau terpaksa menempuh saat sukar untuk kembali ke tahap kecergasan ideal selain melakukan rawatan fisioterapi.

"Saya amat berterima kasih kepada keluarga dan jurulatih yang banyak memberi sokongan dan kata-kata positif untuk saya bangkit semula," katanya yang dibimbing jurulatih dari Cuba, Joe Lewis Alfaro Quinones.

Sementara itu, dalam acara baling tukul besi lelaki, Wong Siew Cheer membawa pulang gangsa hasil balingan sejauh 57.04 meter.

Emas milik peserta Thailand Tantipo Phetchaiya (61.46 meter) manakala perak dimenangi Arniel Ferrera dari Filipina (60.19 meter).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain