KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dengan mudah layak ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Hong Kong selepas mengalahkan pemain India, Ajay Jayaram, pada perlawanan suku akhir, Jumaat.Seperti diramalkan, Chong Wei, pemain nombor satu dunia, dengan mudah mengenepikan saingan dalam masa 31 minit dengan keputusan 21-16, 21-13 pada kejohanan bernilai US$250,000 (RM791,301). Bagaimanapun, Chong Wei dijangka menghadapi saingan getir apabila bertemu dengan musuh tradisinya, Lin Dan dari China pada perlawanan separuh akhir esok.Lin Dan, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008, turut melangkah ke separuh akhir apabila berjaya menumpaskan Shon Wan Ho dari Korea Selatan, 21-15, 21-18 dalam masa 40 minit.Turut layak ke saingan separuh akhir ialah pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China yang mengatasi pemain India, R.M.V Gurusaidutt 21-13, 23-21.Chen Long akan menentang pemenang satu lagi perlawanan suku akhir antara pemain Denmark Peter Hoeg Gade dan pemain China Jin Chen.-BERNAMA