suria

Zulfadli Sasar Ke Suku Akhir Terbuka Macau

KUALA LUMPUR: Juara badminton remaja dunia Zulfadli Zulkiffli menyasarkan tempat ke suku akhir pada penampilan sulung di Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Macau dari 29 November hingga 4 Disember ini.

Sebagai persediaan awal, pemain berusia 18 tahun itu akan menyertai kejohanan 'pemanas badan' pada Cabaran Antarabangsa Sandakan di Sabah dari 22 hingga 27 Nov ini.

"Kejohanan di Sandakan hanya sebagai pemanas badan sebelum ujian sebenar pada Terbuka Macau yang turut disertai beberapa pemain handalan dunia termasuk Lin Dan dari China," katanya selepas dinamakan sebagai Ikon Yayasan Pendidikan Cheras (YPC).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee di Pusat Rekreasi Cheras di sini, Jumaat.

Pengiktirafan Zulfadli sebagai Ikon YPC bertujuan supaya pelajar dari 18 buah sekolah angkat YPC di sekitar Cheras menjadikan beliau sebagai idola untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.

Zulfadli, pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), berkata beliau belum mengetahui lawannya pada pusingan pertama sebelum bertemu dengan pemain Indonesia Simon Santoso pada pusingan kedua pada kejohanan yang menawarkan hadian wang tunai US$200,000 (RM633,495).

Katanya beliau kini menjalani latihan ringan di Dewan Badminton Gombak sejak beberapa minggu lepas di bawah kendalian jurulatih peribadi yang juga ayahnya, Zulkiffli Sidek.

Mengulas mengenai isu 'sparring' dengan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang diminta oleh beliau sebelum ini, Zulfadli berkata beliau masih menunggu keputusan rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai perkara tersebut.

"Datuk Nadzmi Salleh (Presiden BAM) telah melihat persembahan saya baru-baru ini dan beliau telah memanggil saya dan ayah saya, Zulkiffli untuk meneliti lebih lanjut tentang isu 'sparring' ini," katanya sambil berharap dapat menjadi pengganti Chong Wei pada masa depan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Ke-26, Khamis