suria

Anelka Terima Hakikat Terpaksa Tinggalkan Chelsea Januari Depan

LONDON: Penyerang Chelsea, Nicolas Anelka yang akan tamat kontrak menjelang hujung musim ini berkata, beliau telah menerima ketentuan takdir akan meninggalkan Chelsea pada bulan Januari ini apabila pintu perpindahan kelab-kelab Eropah dibuka semula.

Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas sebelum ini turut mengesahkan bahawa bekas penyerang Perancis itu enggan menandatangani kontrak baru bersama Chelsea.

Perpindahan Anelka ke kelab baru muncul semula baru-baru ini selepas kelab dari China, Shanghai Shenhua bersedia untuk menawarkan gaji yang lumayan jika pemain itu bersedia menyertai mereka Januari depan.

"Chelsea telah menjadi sebahagian daripada karier saya dalam bolasepak dan saya berharap akan dapat memenangi trofi lagi bersama kelab ini tetapi nampaknya segala-galanya akan berakhir Januari ini," katanya.

Anelka tidak menyertai skuad Chelsea menentang Bayer Leverkusen malam tadi walaupun disahkan cergas sepenuhnya tetapi hakikat bahawa beliau tidak disenaraikan membuktikan bahawa pemain itu tidak lagi berada dalam pelan jangka panjang Villas-Boas.

Selain Shanghai Shenhua, Anelka kini turut diburu AC Milan dan kelab terkaya Rusia, Anzhi Makhachkala.

Anzhi yang dimiliki oleh seorang hartawan Chechen telah pun menjadikan Samuel Eto'o sebagai pemain dengan gaji paling tinggi di dunia Ogos lalu.

Selain Chelsea, Anelka pernah menyarung jersi Arsenal, Real Madrid, Liverpool, Manchester City dan Bolton.

Untuk musim ini, Anelka yang diturunkan dalam tiga perlawanan liga dan menjaringkan satu gol.

Artikel Sebelum

Artikel Lain