suria

Grand Prix F1 Interlagos Ahad Ini Tutup Tirai 2011

INTERLAGOS: Grand Prix Formula 1 Brazil yang akan berlangsung hujung minggu ini di sini bakal menutup tirai kalender F1 musim 2011 dan Lewis Hamilton bersama pasukannya McLaren mengintai peluang untuk menamatkan musim dengan mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut selepas Abu Dhabi.

Selepas memenangi kejuaraan di Abu Dhabi dua minggu lalu, pelumba berusia 26 tahun itu percaya pasukannya McLaren memiliki kepantasan yang diperlukan untuk menang di sini untuk dikenang sebagai hadiah penamat musim.

Jika Hamilton berjaya mencatat kemenangan di sini, ia merupakan kemenangannya yang keempat untuk musim 2011 dan yang ke-18 sepanjang karier.

Bagi Hamilton dan rakan sepasukannya Jenson Button, Interlagos adalah sirkit yang sangat bermakna kerana di sinilah mereka mencatat kejuaraan dunia dalam karier F1 masing-masing.

Tahun ini dengan kejuaraan pelumba dan pasukan telahpun dimenangi oleh Sebastian Vettel dan Red Bull, Hamilton berkata, tekanan tidak menjadi faktor lagi dan mereka hanya ingin menikmati perlumbaan ke tahap yang maksimum.

Perlumbaan 71 pusingan Ahad ini juga bakal meninggalkan kenangan manis dan bermakna kepada seorang lagi pelumba iaitu Rubens Barrichello.

Pelumba veteran dari Brazil itu akan berlumba di hadapan penyokong-penyokongnya sendiri dan walaupun belum ada kata putus daripada beliau sama ada akan bersara atau sebaliknya tetapi Rubens akan mencatatkan sejarah apabila beliau memulakan perlumbaannya yang ke-322 dalam karier F1.

Ahad ini beliau bakal menjadi pelumba yang paling banyak mencatatkan perlumbaan dalam F1 di kalangan semua pelumba yang ada sekarang.

Pelumba berusia 39 tahun ini akan memasuki musim yang ke-20 dalam kariernya tetapi pasukan William sedang memikirkan apakah perlu mereka mendapatkan pelumba baru untuk musim 2012 dan ini memberikan ketidaktentuan pada masa depan Barrichello.

Artikel Sebelum

Artikel Lain