KUALA LUMPUR: Selepas beraksi cemerlang pada musim ini bersama pasukan AirAsia-SIC-AJO Racing, pelumba motorsikal negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin mahu meneruskan prestasi mantap beliau pada musim depan."Saya sangat gembira dengan prestasi saya sepanjang musim ini dengan sokongan daripada pasukan yang baru. Saya dapat rasakan ada peningkatan daripada segi tunggangan dan juga catatan masa lap yang saya lakukan. "Walaupun tidak dapat mencapai sasaran untuk capai kedudukan ke-15 keseluruhan tetapi dengan jumlah mata yang dikumpul musim ini adalah lebih baik dengan 34 mata berbanding musim lepas hanya empat mata sahaja. Kejayaan ini memberikan saya motivasi untuk terus mempertingkatkan prestasi pada musim depan," katanya.Beliau ditemui pemberita pada majlis meraikan kejayaan beliau anjuran penaja utama pasukan beliau, Sepang International Circuit (SIC) dan AirAsia di sini, malam Rabu.Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM35,000 bagi menghargai kejayaan beliau.Pelumba berusia 20 tahun dari Banting, Selangor itu berkata musim depan lebih memberi cabaran kerana kategori 125cc akan ditukar kepada kategori Moto3 yang akan menggunakan jentera empat lejang."Mungkin persediaan untuk jentera empat lejang ini tidak berapa banyak berbanding dengan jentera dua lejang. Jentera dua lejang lebih sukar untuk setting dan dipandu berbanding jentera empat lejang."Jika saya masih mendapat sokongan sepenuhnya daripada pihak pengeluar, saya ada keyakinan untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam setiap perlumbaan," kata Muhammad Zulfahmi.Sementara itu, Ahmad Razlan berkata sesi ujian dengan jentera Moto3 akan dilakukan pada pertengahan Januari depan di Barcelona, Sepanyol."Kalau tidak silap saya, beliau perlu menjalani sembilan sesi latihan di sana. Sesi berikutnya akan diadakan pada bulan April," katanya.Mengenai sasaran pihak SIC terhadap perlumbaan musim depan, Ahmad Razlan berkata sememangnya pihaknya dan juga penaja yang lain mahukan Muhammad Zulfahmi akan terus mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia."Musim depan, beliau mendapat sokongan penuh daripada KTM Factory dan akan terus berlumba dengan kerjasama Ajo Motorsports. Kita berharap beliau akan meraih kejayaan yang lebih tinggi."Sudah tentu setiap tahun sasaran kita untuk Fahmi (Muhammad Zulfahmi) meningkat. Secara keseluruhan prestasi beliau amat membanggakan kita dan dengan kedudukan ketujuh pada perlumbaan di Sepang (Oktober lepas) adalah sesuatu yang amat membanggakan kita semua," katanya. - BERNAMA