suria

Karim Ibrahim Ingin Selesaikan Kemelut Antara KOM Dan MSN

KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melibatkan Timbalan Presidennya, Karim Ibrahim dan Majlis Sukan Negara (MSN) memasuki fasa baru apabila Timbalan Presiden KOM itu menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Datuk Zolkples Embong atas permintaan peminat-peminat sukan bagi menyelesaikan kemelut yang tercetus.

Karim berkata beliau sendiri akan menulis sepucuk surat kepada Ketua Pengarah MSN itu dan menghantarnya kepada Zolkples selewat-lewatnya esok (Khamis).

Beliau berkata kesediaan untuk menyelesaikan kemelut yang sudah lama berlarutan itu demi kebaikan sukan olahraga negara selain meletakkan kembali sukan berkenaan ke era kegemilangan.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikan kemelut yang tercetus ini. Sudah sampai masanya untuk kita melihat ke hadapan dan bukannya bergaduh serta menuduh antara satu sama lain. Saya ikhlas dan jujur untuk menyelesaikan kemelut ini dan bersedia pada bila-bila masa.

"Saya bersedia untuk bertemu dengan beliau secepat mungkin. Soal sama ada beliau bersedia untuk berjumpa dengan saya, itu terpulanglah kepada Zolkples," katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24, semalam.

Karim berkata inisiatif untuk membawa kedua-dua pemimpin bertelagah itu bersemuka pernah diusahakan oleh Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim dan beberapa buah akhbar sebelum ini namun usaha murni itu gagal disebabkan keengganan Zolkples untuk berganjak.

Dalam perkembangan berkaitan, Karim menolak desakan pihak tertentu agar meletak jawatan ekoran kemelut itu sambil menegaskan, adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab untuk meninggalkan KOM pada saat-saat getir ini.

"Apabila ada masalah dalam persatuan(KOM), takkan saya nak lepas tangan begitu sahaja, tak boleh macam itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain