KUALA LUMPUR: Selepas meninggalkan pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) lima belas tahun yang lalu, pelumba sensasi Kazakhstan, Alexandre Vinokourov (gambar) akan kembali mengetuai cabaran pasukan Astana Pro Team pada perlumbaan berbasikal LTdL 2012 yang masuk edisi Ke-17 yang akan berlangsung pada 24 Februari hingga 4 Mac 2012.“Saya sentiasa mahu menyertai perlumbaan ini lagi tetapi perlumbaan ini tidak dimasukkan dalam kalendar pasukan dan jadual perlumbaan ini selalu tidak sesuai dengan jadual perlumbaan saya,” kata Vinokourov yang pernah menyertai LTdL edisi kedua pada tahun 1997. Selepas perlumbaan Le Tour de Langkawi pada tahun 1997, Vinokourov telah menyertai Mas’ French kelab amatur EC Saint-Etienne dan telah menandatangani kontrak sebagai pelumba neo-pro untuk pasukan Casino."Le Tour de Langkawi sangat istimewa pada saya dan yakin ianya merupakan perlumbaan yang disusun dengan baik," katanya.Pasukan Astana dijangka akan menjalani latihan sepenuhnya di Kazakhstan sebelum menghabiskan masa satu minggu berlatih di Pulau Langkawi sehingga menjelang perlumbaan LTdL ini.Selain Vinokourov, pasukan ini juga turut dianggotai beberapa pelumba hebat antaranya pelumba pecut Assan Bazayev, pakar ujian masa (ITT) Alexandre Dyachenko yang dijangka bakal menguasai Putrajaya dalam acara 20km ujian masa.Selain dua pelumba itu, Astana bakal disertai pelumba yang pernah menyarung jersi biru di beberapa peringkat perlumbaan LTdL 2009, pemenang Tour of Hainan dua kali berturut-turut (2010,2011) Valentin Iglinskiy dan pemenang tempat kedua Tour of Turki 2011, Zeits Andrey.Vinokourov dijangka akan bersara dari perlumbaan profesional pada usia 39 tahun selepas temasya Sukan Olimpik London tahun hadapan.Perlumbaan ini dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai kesinambungan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun 2010 dan 2011 dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).Perlumbaan jelajah berbasikal itu mengekalkan status 2.HC (Hors Classe) dan diiktiraf dan dipersetujui oleh UCI dan UCI Asia Tour. LTdL 2012 dijangka menampilkan 22 pasukan profesional.Perlumbaan sepuluh hari itu akan bermula dengan acara individu ujian masa (ITT) sejauh 20.3km mengelilingi Putrayajaya; diikuti peringkat kedua dari Putrajaya - Melaka (151.0km); Peringkat 3 Ayer Keroh - Parit Sulong (187.6km); Batu Pahat - Muar (169.4km); Ayer Keroh - Pandan Indah (187.2km); Proton Shah Alam - Genting Highlands (108km); Bentong - Kuantan (215.8km); Pekan - Chukai (100.8km); Kemasik - Kuala Terengganu (169.4km) dan Tasik Kenyir - Kuala Terengganu (116.6km).Barisan pelumba pasukan Astana: Alexandre Vinokourov, Assan Bazayev, Alexandre Dyachenko, Dimitriy Gruzdev, Valentin Iglinskiy Dan Andrey Zeits (Semua Dari Kazakhstan).