suria

Isu Pengharaman ISL Tidak Jejas Karier Safee:Zakaria

PETALING JAYA: Isu pengharaman Liga Super Indonesia (ISL) oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak akan menjejaskan karier Safee Sali baik selaku pemain Pelita Jaya FC mahupun ketika menyarung jersi Malaysia.

Pengurus peribadi Safee, Zakaria Rahim berkata selain itu, pendaftaran Pelita Jaya dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) adalah sah.

Beliau berkata sehubungan itu, pengharaman ISL tidak ada kena-mengena dengan Pelita Jaya dan tidak memberi kesan kepada semua pemain yang beraksi dalam ISL.

"Kita harap Pelita Jaya tidak diharamkan. Selagi Pelita Jaya ini tidak diharamkan oleh FIFA, selagi itu ia ok," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas bagi menjawab masa depan Safee bersama kelab Indonesia itu.

Zakaria berkata Pelita Jaya hanya akan diharamkan jika FIFA mengambil tindakan sedemikian terhadap PSSI.

Bagaimanapun, beliau akan memantau perkembangan arena bola sepak di republik itu bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk sehingga menjejaskan kareer Safee.

Zakaria juga berkata kontrak baru yang bakal ditandatangani pemain itu meletakkan penyerang prolifik berkenaan dalam keadaan cukup selamat untuk terus beraksi dengan Pelita Jaya.

"Apa yang kita putuskan di peringkat awal dalam kontrak bersama Pelita Jaya sebelum berlakunya masalah ini ialah Safee akan dipinjamkan beraksi bersama Brisbane Roars dalam Liga A Australia ataupun kelab Belgium sekiranya Pelita Jaya tidak ada sebarang pertandingan.

"Safee akan bermain di salah satu kelab ini di mana kelab Belgium ini juga dimiliki pemilik Pelita Jaya, Nirwan Dermawan Bakrie," katanya.

Beliau turut mendedahkan Safee pernah dipancing beberapa kelab lain, antaranya dari Jerman, Belgium, Thailand, India, Kazakhstan dan Vietnam.

Bagaimanapun, atas dasar tanggungjawab, ketua pasukan Pelita Jaya itu ingin terus kekal bagi membawa pasukan berstatus kelab tersebut menjuarai ISL, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain