suria

Arivalagan Perlu Kawal Emosi - Zolkples

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara sedia menghulurkan bantuan kepada bekas jurulatih skuad karate negara, P.Arivalagan jika beliau mampu menjaga hubungan baiknya dengan Persatuan Karate Malaysia (Makaf). Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, Arivilagan perlu bersikap tenang dan tidak emosional bagi menjaga hubungannya dengan Makaf yang merupakan badan sukan utama yang memayungi sukan karate di negara ini.

"MSN memang berhasrat untuk membantu Arivilagan kerana beliau adalah seorang jurulatih yang cemerlang dan kita bercadang untuk mengambilnya sebagai jurulatih atlet pelapis, namun beliau perlu menyelesaikan konfliknya dengan Makaf terlebih dahulu," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Zolkples berkata, MSN tidak boleh membelakangkan Makaf kerana pihaknya belum mendapat keterangan rasmi daripada Makaf berkenaan isu penggantungan jurulatih itu.

Arivilagan dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun oleh Persatuan Karate Asia (AFK) dan Persatuan Karate Dunia (WKF) baru-baru ini apabila mengkritik secara terbuka mutu pengadilan pada Sukan SEA di Indonesia pada November lepas.

Jurulatih yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sukan karate itu turut berdepan dengan isu kontrak apabila Makaf mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya yang tamat 1 Januari lepas, dengan alasan Makaf tidak mempercayai kemampuan dan kepakaran Arivalagan dalam membimbing skuad karate kebangsaan pada peringkat antarabangsa.

Arivalagan, yang dihubungi Bernama berkata, beliau masih menunggu jawapan daripada MSN berhubung dengan status masa depannya sebagai jurulatih karate negara.

"Saya berharap mereka dapat membantu saya dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.

Arivalagan menasihati anak didiknya untuk terus berada dalam skuad kebangsaan dan lebih memikirkan soal masa depan mereka.

"Saya nasihatkan mereka agar tidak keluar dari skuad kebangsaan kerana mereka semua adalah atlet karate yang berbakat," katanya. Sebelum ini beberapa atlet karate dalam skuad kebangsaan menyatakan hasrat untuk keluar dari skuad negara apabila Makaf mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Arivalagan dan menggantikannya dengan jurulatih dari Iran. - BERNAMA

Artikel Lain