suria

Kemenangan Chong Wei Bukan Atas Ehsan Lin Dan - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Kejayaan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menewaskan musuh tradisinya Lin Dan pada perlawanan akhir Terbuka Korea bukan disebabkan ehsan daripada lawannya dari China itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau percaya Lin Dan juga telah mencuba yang terbaik dan bukan semudah itu untuk memberikan kemenangan kepada Chong Wei dalam kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan tersebut.

"Kemenangan itu juga memberikan satu gambaran permulaan baik bagi Chong Wei. Dia juga perlu membuang persepsi bahawa dia pemain nombor satu dunia tetapi Lin Dan terbaik dunia," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau menerima kunjungan dua pemain golf muda negara yang sedang meningkat naik iaitu Galven Kyle Green, 18, dan Galven Kendall Green, 11, di pejabatnya.

Sambil mengucapkan tahniah di atas kemenangan Chong Wei, Ahmad Shabery berkata, keputusan itu juga akan turut memberikan tekanan psikologi kepada jaguh badminton China tersebut.

Beliau berharap kejayaan itu akan terus dicapai oleh Chong Wei dalam kejohanan lain yang sekiranya kemenangan terus berpihak kepadanya selepas ini, ia memberi petanda positif bahawa hasrat untuk meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik London tahun ini akan tercapai.

"Buat masa ini kita akan terus memantau perkembangan Chong Wei dan memberikan sokongan moral untuk memastikannya bersedia dari segi fizikal dan mental," katanya. Chong Wei menang ke atas Lin Dan dalam perlawanan tiga set 12-21, 21-18 dan 21-14 sekaligus membawa pulang hadiah wang AS$75,000 (RM225,000) - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain