suria

Atlet Powerlifting Wanita Negara Ada Peluang Ke Olimpik : Kamaruzaman

KUALA LUMPUR: Atlet wanita negara berpeluang cerah untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik di London, Ogos depan berdasarkan peningkatan prestasi mereka pada Kejohanan Powerlifting Terbuka Malaysia yang berakhir pada Khamis.

Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia, Kamaruzaman Kadir, dua atlet powerlifting negara iaitu Siow Lee Chan (56kg) dan Sharifah Raudzhah Syed Akil (75kg) telah mempamerkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan julung kali itu.

"Saya nampak atlet wanita kita membuat peningkatan dalam angkatan pada kejohanan ini dan tidak mustahil mereka mampu layak ke London nanti," katanya kepada pemberita pada majlis penutupan kejohanan itu oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) Datuk Zainal Abu Zarim di sini malam ini.

Beliau mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Seri Ahmad Fuad Ismail.

Kamaruzaman bagaimanapun berkata pihaknya perlu menunggu Kejohanan Powerlifting Fazza di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 22-27 Feb ini yang menjadi kejohanan kelayakan terakhir ke Sukan Paralimpik.

"Selepas itu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) akan menentukan lapan atlet terbaik dalam kategori wanita dan 10 atlet terbaik dalam kategori lelaki selain dua tiket wildcard dalam dua kategori tersebut untuk ke London nanti," katanya.

Pada kejohanan di Stadium Titiwangsa di sini, Thailand menunjukkan penguasaan apabila menggondol lima daripada 16 pingat emas yang ditawarkan.

Selain itu, atlet Iran Solphipourounji Seyedhamed berjaya memecahkan rekod remaja dunia dalam kategori lelaki 90kg dengan angkatan 220kg (rekod remaja dunia 210kg).

Qarada Omar dari Jordan turut melakukan kejutan dengan mencipta rekod baru dunia dan Asia dengan angkatan 176kg dalam kategori lelaki 48kg (rekod dunia dan Asia 174kg).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain