KUALA LUMPUR: Edisi ke-14 perlumbaan Petronas Grand Prix Malaysia Formula Satu (F1) bakal menghimpunkan enam orang jaguh dunia bersaing merebut satu gelaran juara pada pusingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 23 hingga 25 Mac ini.Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, perlumbaan tahun ini dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung untuk berhimpun di Sepang bagi menyaksikan juara dunia bersaing antara satu sama lain. "Buat pertama kalinya enam orang juara dunia berhimpun di Malaysia. Ini merupakan satu tarikan utama bukan sahaja kepada peminat pemotoran tanah air, malah peminat seluruh dunia."Juara 2007, Kimi Raikkonen akan kembali beraksi selepas dua tahun menyepi, Sebastian Vettel merupakan juara bertahan dua tahun berturut-turut, Jenson Button, Lewis Hamilton Fernando Alonso dan juga Michael Schumacher."Nama-nama besar ini sememangnya dinanti-nantikan malah dijadikan tarikan utama tahun ini. Sudah pasti pihak kami menyasarkan 90,000 pengunjung akan hadir pada hari perlumbaan akhir nanti (Ahad). Manakala sasaran seramai 110,000 pengunjung untuk tiga hari perlumbaan."Jumlah tersebut merupakan satu angka terbesar yang dianggarkan sepanjang 13 tahun penganjuran," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Grand Prix Malaysia 2012, Selasa.Malaysia menjadi venue kedua perlumbaan berprestij dunia ini selepas GP Australia membuka tirai pada 16 hingga 18 Mac ini.