KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal melaksanakan proses pengisytiharan harta bagi pemain dan pegawai bola sepak dalam tempoh terdekat ini sebagai satu cara untuk mengekang gejala rasuah yang kembali melanda sukan bola sepak negara.Sehubungan itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata semua pihak terbabit haruslah mematuhi arahan yang ditetapkan sejurus proses itu dikuatkuasakan. Katanya, FAM sudah lama menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diberi nama Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan."Jawatankuasa ini yang dianggotai oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah duduk semeja dan di antara pendekatan yang kami ambil selain pengesahan pembayaran gaji, satu lagi langkah membasmi rasuah adalah menerusi pengisytiharan harta," katanya ketika ditemuramah dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24, semalam.Dalam perkembangan berkaitan, jurulatih skuad bola sepak Kuala Lumpur Razif Ismail menyambut baik cadangan pengisytiharan harta yang dicadangkan Azzuddin kerana ia sekurang-kurangnya membolehkan pihak berwajib memantau gaya hidup para pemain bola negara.Beliau turut menafikan tanggapan prestasi buruk pasukan bimbingannya mempunyai kaitan dengan elemen rasuah.Sebaliknya, tegas Razif ia berpunca daripada tindakan seramai 15 pemain musim lepas yang memilih untuk berhijrah ke pasukan baharu.Berikutan kekangan kewangan, Razif menjelaskan, pasukannya tidak berupaya untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain terbaik untuk menggalas cabaran Kuala Lumpur dalam saingan Liga Malaysia. -BERNAMA