suria

Zulfadli Beri Kata Putus Kepada BAM Esok

KUALA LUMPUR: Juara remaja dunia Zulfadli Zulkifli berpuas hati dengan program yang diatur oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjalani latihan persediaan menghadapi Piala Axiata yang bermula 23 Mac ini.

Zulfadli, yang bernaung di bawah Kuala Lumpur Racket Club (KLRC), berkata beliau akan memberi kata putus kepada BAM pada Jumaat mengenai tawaran latihan bagi menghadapi Piala Axiata dan pemilihan ke pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China pada 20-27 Mei depan.

"Hari ini saya telah menerima surat tawaran dari BAM, setakat ini semuanya berjalan lancar. BAM telah menerangkan tentang program latihan yang telah ditetapkan dan selepas berbincang dengan KLRC, esok saya akan kembali untuk memberikan jawapan.

"Saya berterima kasih kepada BAM kerana telah beri kepercayaan terhadap kemampuan saya untuk mewakili negara dan saya pasti akan buktikan kemampuan saya kepada peminat-peminat badminton negara," katanya.

Zulfadli berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan hampir sejam dengan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh di Pejabat BAM. Turut hadir jurulatih yang juga bapanya Zulkifli Sidek.

Pemain muda yang sedang meningkat naik itu berkata dia telah bersiap sedia untuk menghadapi Piala Axiata dan perlu berkerja keras membuktikan keupayaannya mengalas cabaran ke Kejohanan Piala Thomas nanti.

"Piala Axiata memang saya confirm bermain, bagi Piala Thomas, BAM akan lihat perkembangan saya dari segi latihan dan kejohanan individu yang akan saya sertai nanti.

Zulfadli dan bekas Juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim, juga di bawah KLRC, telah ditawarkan menjalani latihan Piala Axiata dan Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Kiara mulai 5 Mac ini sehingga akhir April.

Sementara itu Zulkifli berkata beliau berterima kasih kepada BAM kerana memberi kepercayaan kepada anaknya Zulfadli dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan.

"Zulfadli akan mengikuti dua sesi latihan seperti dijelaskan kepada saya tadi, saya tiada masalah kerana yakin dengan pemain yang telah saya didik dari usia 4 tahun sehingga sekarang ini mampu membuahkan hasil," katanya.

Zulkifli berkata beliau akan berbincang dengan pemilik KLRC Datuk Seri Andrew Kam sebelum memberi kata putus kepada BAM.

"Insyallah kita akan terima tawaran itu bagaimanapun perlu berbincang dengan pemilik KLRC dan esok pagi kita akan kembali untuk beri jawapan.

"Saya selalu ingatkan dia (Zulfadli) sama ada terpilih atau tidak, yang penting dia harus berkerja keras dalam apa jua kejohanan atau latihan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain