suria

Piala Axiata: Zulfadli Akan Bukti Kemampuan

KUALA LUMPUR: Juara remaja dunia Zulfadli Zulkifli bertekad mahu mempamerkan permainan lebih agresif untuk 'Malaysia Leopard' pada Kejohanan Badminton Piala Axiata di Jakarta, bermula Jumaat ini.

Zulfadli berkata meskipun gagal memberi prestasi terbaik pada kejohanan Terbuka Switzerland minggu lepas, beliau tidak mahu mudah menyerah kalah dan akan berjuang mendapatkan satu mata pada perlawanan di Jakarta nanti.

"Pada Terbuka Swiss baru-baru ini, sememangnya saya hilang fokus kerana saya terpaksa menunggu lima jam sebelum perlawanan. Dari hotel ke stadium ambil masa satu jam perjalanan, dan sampai sana perlawanan saya kena tangguh sehingga empat jam, jadi memang saya hilang fokus sedikit.

"Saya masih ada beberapa kejohanan yang akan disertai, jadi saya tetap akan memperbaiki corak permainan saya dari masa ke masa," katanya ketika ditemui Bernama di Stadium Juara di sini, Selasa.

Zulfadli gagal meneruskan saingan apabila kalah kepada pemain Bulgaria, Stilian Makarski 22-20, 20-22 dan 17-21 pada pusingan kedua Terbuka Switzerland di Basel minggu lepas.

Zulfadli, yang juga ketua pasukan 'Malaysia Leopard', berkata pasukannya dijadual bertolak ke Jakarta pagi Rabu dan akan bertemu pasukan Singapura pada perlawanan pertama peringkat kumpulan, bermula Jumaat.

Turut tersenarai dalam Malaysia Leopard adalah Iskandar Zulkarnain, Misbun Ramdan Misbun, serta dua beregu Ow Yao Han/Chooi Kah Ming dan Teo Ee Yi/Nelson Heg Wei Keat. Selain Malaysia dan Singapura dalam Kumpulan J ialah Vietnam dan Pasukan Garuda dari Indonesia.

Perlawanan bagi Kumpulan J berlangsung di dua venue di Jakarta iaitu Gelanggang Tenis Tertutup Senayan dan Kelapa Gading Sports Mall (Britama Arena).

Zulfadli berkata pasukannnya telah bersedia menghadapi kejohanan itu dan sehari sebelum perlawanan, jurulatih akan memaklumkan siapa yang diturunkan pada pusingan pertama perlawanan nanti.

Sementara itu, pemain perseorangan pertama Malaysia Leopard, Misbun Ramdan berkata skuad mensasarkan untuk mengatasi pasukan Singapura serta Vietnam dan layak ke separuh akhir perlawanan.

"Jumaat ini, skuad akan menentang Singapura dan saya dijangka berdepan dengan Derek Wong, saya pun sudah kaji corak permainan dia (Derek) dan jarak antara saya dan dia tidak jauh sangat. Saya harap saya dapat kalahkan dia nanti," katanya.

Selain Malaysia Leopard, negara turut mempertaruhkan pasukan Malaysia Tiger yang terdiri daripada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren, Muhammad Arif Abdul Latif serta dua beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Goh V Shem/Lim Kim Wah, yang diundi ke dalam Kumpulan K.

Semua perlawanan membabitkan Kumpulan K yang terdiri daripada pasukan Rajawali Indonesia, Thailand dan Filipina akan berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.

Kedua-dua pasukan negara itu akan berentap di kejohanan sulung Piala Axiata yang menawarkan ganjaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$1 juta (US$1 = RM3.00900). - BERNAMA

Artikel Lain