Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah SUBANG JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat sebelum ini berkaitan dengan tawaran menjadi pengantara dalam isu penggantungan Tan Sri Annuar Musa adalah untuk membantu menjernihkan kembali keadaan demi masa depan bola sepak negara.“Saya tidak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM, tetapi saya hanya meluahkan perasaan dan berkongsi pandangan saya semata-mata dan bukan untuk terlibat sama. Ia hanya untuk membantu demi bola sepak negara. “Semua pihak ada kelemahan dan nasi sudah menjadi bubur. Jadi tidak salah jika kita betulkan apa yang telah berlaku dan kembali bersama. Bukan niat saya untuk menimbulkan pertelingkahan,” katanya kepada media, Selasa.Tengku Abdullah berkata, beliau akan mengkaji secara keseluruhan dan akan melihat apa yang boleh dilakukan.“Saya juga manusia biasa. Jika ada jalan, saya akan cuba membantu. Mungkin ada rahmat di sebalik kejadian ini."Saya juga akan melihat kembali Artikel 88 untuk penjelasan diri saya sendiri dan kalau ada yang boleh diperbetulkan saya akan bawa ke exco untuk dibincangkan” jelasnya.Isu penggantunggan Annuar kembali menjadi perhatian selepas Tengku Abdullah mengeluarkan kenyataan sedia menjadi orang tengah untuk menamatkan kebuntuan ini dan memulihkan sebarang keretakan yang mungkin wujud disebabkan oleh insiden malang ini pada Sabtu lalu.Namun Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah tidak boleh menerima tindakan Tengku Abdullah yang bercadang menjadi orang tengah dalam isu penggantungan Annuar.Annuar yang dipilih memegang jawatan ketiga tertinggi di dalam FAM pada sidang kongres FAM ke-47 pada 31 Julai 2010 hilang semua jawatannya dalam FAM termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas dijatuhkan hukuman selama dua tahun enam bulan kerana mengkritik prestasi semasa skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal.