suria

Golf Terbuka Malaysia: Shaaban Muncul Pemain Terbaik Negara

KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara, Shaaban Hussin memulakan cabaran pada Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2012 dengan melakarkan dua bawah par 70 pada pusingan pertama di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara, di sini, Khamis.

Pemain berusia 32 tahun itu kini muncul sebagai pemain terbaik Malaysia pada kejohanan bernilai US$2.5 (RM7.67 juta) walaupun berkongsi kedudukan di tangga ke-28 bersama 12 pemain lain.

"Saya bermain dengan sebaik mungkin hari ini dengan mencapai sasaran mencatat kelebihan satu atau dua pukulan. Ini adalah hari pertama dan saya mahu menyesuaikan dengan kejohanan ini. "Saya mungkin melakukan catatan lebih baik tetapi pukulan 'put' saya tidak begitu baik seperti saya inginkan. Harap dapat memperbaikinya pada tiga pusingan nanti.

"Saya hampir mencipta 'hole-in-one' pada lubang ke-11 tetapi bola melantun keluar sejauh lapan kaki. Malangnya saya terlepas birdie," katanya.

Shaaban, yang menjadi pemain pro pada 2003, berkata beliau tidak akan membiarkan tekanan mengatasinya pada pusingan berikutnya kerana perlu menunjukkan persembahan baik selaku dilantik duta kejohanan oleh penaja utama, Maybank.

Dua lagi pemain negara Danny Chia dan Ben Leong berjaya melakarkan satu di atas par 73 pada kejohanan yang dikitiraf oleh Jelajah Asia dan Eropah.

Selepas memulakan aksi dengan baik, Chia terpaksa menghadapi kesukaran pada par lima lubang kelima apabila membenam tiga pukulan bogey dan kemudian dua bogey pada lubang ketujuh dan ke-11.

"Kesilapan pada lubang kelima tidak boleh dimaafkan. Saya terdesak untuk melakukan pukulan bawah par dengan cepat. Saya hilang sabar pada awal permainan dan ia adalah silap.

"Saya bangkit semula selepas itu dan mempunyai peluang esok," kata Chia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain