suria

Atkinson Buat Kesilapan Besar: Redknapp

Benoit Assou-Ekotto telah menolak bola sebelum ia mencecah garisan gol.
Benoit Assou-Ekotto telah menolak bola sebelum ia mencecah garisan gol.
Benoit Assou-Ekotto telah menolak bola sebelum ia mencecah garisan gol.

PENGURUS Tottenham Hotspur, Harry Redknapp kecewa dengan tindakan pengadil Martin Atkinson yang mengesahkan gol kedua kepada Chelsea sekaligus menyaksikan pasukannya tumpas 1-5 pada perlawanan separuh akhir Piala FA Inggeris di Stadium Wembley, awal pagi Isnin.

Gol pembukaan dilakukan penyerang Chelsea, Didier Drogba dan diakui menarik namun tindakan Atkinson mengesahkan gol kedua yang dilakukan Juan Mata minit ke-48 menimbulkan kontroversi.

Ini kerana ketika itu keadaan kelam-kabut di kotak penalti dan Mata cuba menjaringkan gol namun Benoit Assou-Ekotto telah menolak keluar bola itu sebelum ia mencecah ke garisan gol.

"Gol kedua dianggap malapetaka. Bola itu memang jauh dari garisan. Pemain-pemain cuba menjelaskan namun tidak dilayan. Dia (Atkinson) telah melakukan kesilapan besar.

"Saya tidak pasti bagaimana ia dikira gol kerana sememangnya bola itu jauh dari garisan gol.

"Hanya badan sahaja di atas garisan dan bola itu mustahil untuk sampai ke garisan. Dia tidak boleh pastikannya," katanya.

Pemain-pemain Spurs cuba menjelaskan kepada pengadil dan penjaga garisan, Mick McDonough selepas keadaan kelam kabut itu, namun keputusan telah dibuat.

Redknapp mahu Atkinson memohon maaf selepas itu.

"Saya ada bercakap dengannya. Dia mengakui rasa teruk lebih daripada apa yang saya rasa.

"Atkinson sedar dia telah melakukan kesilapan dan mengakui dia akan melalui minggu yang teruk selepas ini," katanya.

Redknap juga berpendapat penggunaan teknologi garisan gol perlu diadakan dalam perlawanan.

"Kamu tidak boleh terus menghadapi situasi seperti ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain