suria

Chong Wei Pasrah Dituduh Besar Kepala

KUALA LUMPUR: Perseorangan badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei pasrah dengan kritikan pihak tertentu yang menuduhnya 'besar kepala' kerana tidak menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negara Selasa lalu.

Namun atlet berusia 30 tahun itu menganggap semua yang dilaluinya itu sebagai satu pengalaman berharga dalam hidupnya.

"Saya tak salahkan orang yang cakap, yang penting saya sendiri tahu saya 'sincere' (jujur). Pada saya daripada pengalaman ini, saya banyak belajar," katanya kepada Bernama.

Pada Majlis Anugerah Sukan negara Selasa lalu, yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Chong Wei dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2011, namun beliau hanya menghantar abangnya sebagai wakil.

Jaguh badminton itu telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong pada Jumaat lepas untuk memberi penjelasan dan didapati isu itu timbul akibat salah faham.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontroversi itu secara baik, malah Chong Wei akan dibawa pihak MSN untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi.

Harapan emas Olimpik negara itu kini menjalani persiapan terakhir menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.

"Saya mahu fokus berlatih untuk Olimpik serta cuba elakkan kecederaan. Saya harap pihak media boleh beri kerjasama dan bantu saya kerana ini mungkin Olimpik terakhir untuk saya" katanya yang pernah meraih perak pada Olimpik 2008 di Beijing.

Chong Wei akan beraksi pada Kejohanan Terbuka India pada 24 hingga 29 April ini serta Terbuka Malaysia GP Gold di Johor (1 hingga 6 Mei) sebagai pemanas badan sebelum mewakili negara ke Piala Thomas di Wuhan, China (20 hingga 27 Mei). - BERNAMA

Artikel Lain