suria

Berbasikal: Earle Tawan Banjaran Crocker Untuk Catat Kemenangan Kedua

KUNDASANG: Pelumba Australia Nathan Earle menawan laluan Banjaran Crocker dari Sepilok ke sini yang sungguh mencabar untuk menjuarai Peringkat Empat Jelajah Borneo (TOB) 2012.

Ini merupakan kemenangan keduanya dalam TOB.

Earle, 24, yang menunggang untuk pasukan Genesys Wealth Advisers mengambil masa enam jam, 11 minit dan 48 saat untuk menghabiskan perlumbaan sejauh 214.8km itu.

Dengan kemenangan itu, Earle merampas jersi merah (Raja Bukit) daripada pelumba Uzbekistan Suren Team Azamat Turaev.

Bagaimanapun, Earle tidak berjaya merampas jersi kuning daripada Michael Torckler yang menunggang untuk Pure Black Racing Team.

Dia berada hanya enam saat di belakang Torckler, yang mencatat masa 16:49:01 selepas empat peringkat.

"Peringkat ini sungguh perit dan jauh, tapi saya suka laluan mendakinya dan oleh itu saya gembira apabila memenanginya.

"Rancangan kami ialah untuk merampas jersi kuning, tapi Michael sungguh kuat hari ini. Tiada apa yang dapat kami lakukan untuk menghalangnya," kata Earle.

Ini kemenangan peringkat kedua bagi Earle dalam edisi sulung Jelajah Borneo setelah memenangi Peringkat Dua dari Tawau ke Lahad Datu pada Sabtu.

Pada peringkat hari ini, Earle melepasi garisan penamat dengan diikuti rapat pendahulu keseluruhan Torckler, setelah mereka bersing rapat selepas berpecah daripada 13 penunggang yang sama-sama memulakan pendakian akhir bagi peringkat yang sungguh mencabar itu.

Dalam menuju peringkat akhir, Torckler mendahului Earle dengan enam saat dalam klasifikasi umum dan pelumba itu berharap segalanya akan berjalan lancar bagi peringkat dari Kundasang ke Kota Kinabalu esok.

"Sudah lama saya tidak menunggang bagi peringkat sejauh ini, jadi saya gembira kerana tubuh saya mampu menghadapinya. Memang sungguh menggembirakan apabila saya dapat menunggang seperti ini setelah tidak terlibat dengan sukan ini selama setahun akibat pecah tempurung lutut," kata Torckler.

"Esok, saya harap semua rakan sepasukan saya berada dalam keadaan baik untuk menghadapi peringkat akhir. Kami perlu kuasai perlumbaan dan membawa jersi kuning hingga ke saat akhir," katanya.

Sementara itu, penunggang Malaysia Mohd Shahrul Mat Amin dari Pasukan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) mempamerkan prestasi mengagumkan dengan menduduki tempat keempat.

"Jurulatih memberi arahan kepada saya supaya berada dalam kumpulan depan dan cuba mendaki. Oleh itu, saya cuba berada bersama penunggang di depan dan dapat berbuat demikian hingga ke pendakian terakhir, sebelum semua pendahulu memecut dan saya pula kehabisan angin. saya hanya mampu melihat saja.

"Saya gembira kerana memenangi jersi penunggang Malaysia, tapi agak kecewa kerana tidak mampu memenangi jersi penunggang Asia," kata Mohd Shahrul.

Pelumba Kazakhstan Sergey Kuzmin, yang menduduki tempat ketujuh dalam peringkat ini, berada di tempat teratas dalam klasifikasi penunggang Asia.

Peringkat akhir TOB esok meliputi laluan sejauh 112.4km dari Kundasang ke Kota Kinabalu. - BERNAMA

Artikel Lain