suria

ARRC: Fujiwara Teruja Untuk Bersaing Dengan Pelumba Baru

Katsuaki Fujiwara
Katsuaki Fujiwara
Katsuaki Fujiwara

JUARA bertahan SuperSports 600cc, Katsuaki Fujiwara mengalu-alukan kehadiran pelumba baru dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) menjelang pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 11 hingga 13 Mei ini.

Pelumba berusia 38 tahun itu percaya tahap persaingan pastinya menjadi sengit pada musim ini apabila pelumba berprofil tinggi berlumba di grid bersama pelumba-pelumba berbakat sedia ada.

Antara wajah-wajah baru yang bakal memberikan pertarungan sengit adalah pelumba handalan, Ryuchi Kyonari yang dikenali di lapangan Eropah sebagai pemegang rekod dan seorang lagenda di pentasnya sendiri.

Turut memberi sentuhan sengit pada pelumbaan kali ini adalah duo daripada pasukan AP Honda Thailand, Thitipong Warakorn dan Ratthapong Wilairot.

Duo kelahiran Thailand ini bakal bersaing sengit di dalam perlumbaan perdana SuperSports 600cc yang disifatkan sebagai sebahagian perancangan pembangunan permotoran AP Honda Motor Co.

"Perlumbaan tahun lepas adalah sukar kerana ia merupakan penyertaan pertama Manual-Tech BEET Kawasaki Racing di dalam siri Asia.

"Kami secara praktikalnya memulakan perlumbaan dengan memperolehi sedikit data dari berapa sesi ujian masa di Malaysia dan Indonesia – yang merupakan kekurangan utama berbanding pasukan lain.

"Tetapi kami tidak berputus asa malah terus berusaha sehinggalah memenangi kejuaraan pada tahun pertama.

"Jadi adalah tidak menghairankan sekiranya kami berharap untuk mengecap kemenangan sama pada musim 2012 ini." jelas Fujiwara. Pada aksi pra-ujian bulan lalu, Fujiwara telah memecah rekod SIC dengan catatan 1’05.924s berbanding rekod lama, 1’06.538s.

"Saya berasa sangat selesa dengan halatuju terkini kami kerana kami menggunakan model sistem suspensi Kawasaki terkini dan tercanggih.

"Disamping itu juga, kami memiliki lebih banyak data dan ini membantu melancarkan proses peralihan penyediaan jentera tahun lalu kepada jentera terkini, yang jelas menjadikan ia lebih mencabar dan tahan lama.

"Saya berharap kami dapat terus memberikan keputusan yang sama sepanjang musim ini,” ujarnya.

Artikel Lain