suria

ARRC: Fujiwara Terpantas, Catat Rekod Baru SIC

Jentera baru Fujiwara (depan) membantunya catat masa terpantas pada sesi latihan bebas ARRC, di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu.
Jentera baru Fujiwara (depan) membantunya catat masa terpantas pada sesi latihan bebas ARRC, di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu.
Jentera baru Fujiwara (depan) membantunya catat masa terpantas pada sesi latihan bebas ARRC, di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu.

SEPANG: Katsuaki Fujiwara membuktikan statusnya sebagai juara bertahan apabila muncul pelumba terpantas kedua-dua sesi latihan masa kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan, Jumaat.

Catatan terpantas 1 minit 06.268 saat milik pelumba Manual Tech BEET Kawasaki Racing itu yang dilakukan pada sesi Latihan Masa 1 di sebelah pagi turut menjadi rekod baru litar memadam catatannya sendiri, 1:06.538s yang dicatatkan pada tahun 2011.

Fujiwara turut mendahului sesi Latihan Masa 2 pada sebelah petang apabila melakukan catatan 1:06.326s.

Pelumba Boon Siew Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman muncul pelumba kedua terpantas, 1:06.548s yang dilakukan pada sesi Latihan Masa 2 manakala rakan sepasukan Fujiwara, M.Fadli Immammuddin di kedudukan ketiga dengan catatan terpantas 1:06.671s.

Yakin dengan kemampuannya untuk berada di barisan hadapan, Fujiwara berkata, catatan masa terpantas ini banyak dibantu oleh penggunaan jentera baru dan jelas ianya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan jentera yang digunakan pada musim lepas.

"Ini memberikan keyakinan kepada saya untuk berada di barisan hadapan terutama pada sesi kelayakan esok (Sabtu),” jelas Fujiwara.

Sementara itu, Azlan pula menjelaskan pasukannya lebih banyak menumpukan kepada pencarian suspensi dan ‘mapping’ terbaik pada kedua-dua sesi latihan masa.

"Sebenarnya saya hanya menggunakan sepasang tayar sahaja pada kedua-dua sesi latihan hari ini menyebabkan keadaan tayar saya sudah agak teruk pada sesi Latihan Masa 2.

"Dengan menggunakan tayar baru, saya yakin mampu mencatat masa yang lebih baik pada sesi kelayakan esok.”

Selain itu, Mohd Amirul Ariff Musa dan Mohd Iskandar Raduan menceriakan kontinjen Malaysia apabila berada di kedudukan teratas sesi latihan masa bagi kategori Underbone 115cc.

Amirul dari pasukan Pachie Yuzy Honda Racing mencatatkan masa terpantas 1:22.624s sekaligus memadam rekod terpantas litar milik Rafid Topan Sucipto, 1:23.096s yang dilakukan pada musim 2011.

Pelumba wildcard negara, Iskandar yang mewakili PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM mencatatkan 1:22.814s diikuti pelumba Indonesia, Rey Ratukore (Nissin R9 KHT Federal Oil BRT), 1:23.193s.

Walaupun berpuas hati dengan catatan yang dilakukannya, Amirul akui dia masih perlu berhati-hati terhadap beberapa pencabar lain terutama Iskandar, Rey dan juga Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang berada di kedudukan keempat.

Dalam kategori Piala Asia Dream (ADC) yang diperkenalkan buat pertama kali pada musim ini bersama-sama dengan ARRC, pelumba Jepun, Hiroki Ono muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:20.543s mengatasi rakan senegara, Hikari Okubo, 1:21.4166s.

Pelumba Indonesia, Denny Triyugo Laksono ketiga dengan 1:22.004s manakala Sasitharen Sukumaran muncul pelumba terbaik Malaysia apabila berada di kedudukan kelima dengan catatan masa 1:22.208s.

Ono yang gembira dengan catatannya berharap agar dia dapat meningkatkan lagi catatan masanya pada sesi kelayakan esok. “Saya akan memperbaiki beberapa kelemahan tunggangan saya agar dapat beraksi dengan lebih baik,” jelasnya.

Keputusan Latihan Bebas

SuperSports 600cc

1.Katsuaki Fujiwara (Kawasaki) 1'06.268s

2.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 1'06.548s

3.M.Fadli (Kawasaki) 1'06.671s

4.Zamri Baba (Yamaha) 1'06.719s 5.Ryuichi Kyonari (Honda) 1'06.722s

Underbone 115cc

1. Amirul Ariff Musa (Honda) 1'22.624s

2.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 1'22.814s

3.Rey Ratukore (Yamaha) 1'23.193s

4.Norizman Ismail (Honda) 1'23.450s

5.Mohd Affendi Rosli (Honda) 1'23.564s

Asia Dream Cup (ADC)

1.Hikori Ono (JPN) 1'20.543s

2.Hikari Okubo (JPN) 1'21.416s

3.Denny Triyugo (INA) 1'22.004s

4.Joshua Hook Frederick (AUS) 1'22.097s

5.Sasitharen Sukumaran (MAS) 1'22.208s

Artikel Lain