suria

Tuanku Mizan Ingatkan Atlet Sentiasa Jaga Nama Baik Negara

KUALA TERENGGANU: Para atlet diingatkan agar sentiasa menjaga nama baik negara dalam setiap pertandingan yang disertai terutamanya yang diadakan di luar negara.

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah ini kerana atlet kini dilihat sebagai ikon yang semakin menjadi perhatian masyarakat.

"Diharapkan atlet-atlet ini dapat meletakkan nama Malaysia di tempat tertinggi, dan sentiasa ingat untuk menjaga nama baik negara kerana mereka dilihat sebagai ikon yang menjadi perhatian masyarakat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2011 di sini, Sabtu.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut berangkat mengiringi Sultan Mizan. UMT merupakan tuan rumah majlis berkenaan.

Titah Tuanku Mizan, baginda berbangga dengan pencapaian enam atlet daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan mewakili negara pada acara Sukan Olimpik London 2012 yang akan berlangsung pada 27 Julai hingga 12 Ogos ini.

Enam atlet berkenaan termasuklah Azizulhasni Awang (sukan berbasikal), Cheng Chu Sian (memanah), Brian Nickson Lomas (terjun) dan Leong Mun Yee (terjun).

Titah Tuanku Mizan, baginda mengharapkan atlet-atlet berkenaan mampu membawa pulang pingat dari acara sukan berprestij itu sebagai kesinambungan kepada kejayaan yang dirangkul atlet IPT di pelbagai peringkat antarabangsa sebelum ini.

"Ia termasuk kejayaan merangkul pingat pada acara besar seperti Sukan Universiti Dunia (Universiad) 2012 yang diadakan di Shenzen, China tahun lalu.

"Begitu juga kejayaan pada Sukan SEA ke-26 di Jakarta-Palembang, di mana hampir separuh pingat emas kontijen negara diperolehi menerusi atlet IPT," titah baginda.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Md Noor berkata anugerah sukan Masum diadakan secara tahunan sebagai penghargaan kepada sumbangan siswa dalam arena sukan negara.

Katanya pihak kementerian memperuntukkan sebanyak RM30 juta setiap tahun untuk pembangunan dan pembudayaan sukan di IPT seluruh negara, termasuk di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Jumlah itu tidak termasuk biasiswa yang diberikan kepada atlet cemerlang selain beberapa imbuhan lain yang diberikan sebagai penghargaan jika mereka memenangi pingat pada kejohanan utama yang disertai.

"Ia sebagai satu cara memperkasakan dan membudayakan sukan di kalangan penuntut IPT, sekaligus mencari atlet pelapis dalam arena sukan negara," katanya.

Katanya Dasar Pembangunan Sukan IPT yang dilaksanakan sejak 2009 turut menggalakkan IPT membuka peluang kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan walaupun tidak begitu menonjol dalam bidang akademik," katanya.

Pada majlis itu, anugerah Olahragawan dimenangi Cheng Chu Sian iaitu atlet memanah dari Universi Putra Malaysia (UPM) manakala Olahragawati dimenangi atlet Terjun, Leong Mun Yee juga dari UPM. - BERNAMA

Artikel Lain