suria

Badminton: Liew Tidak Mengalah Pikul Beban Perseorangan Pertama

WUHAN: Bersedia atau tidak, perseorangan kedua negara Liew Daren kini terpaksa memikul beban sebagai perseorangan pertama negara setelah pemain nombor satu Malaysia, Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada kejohanan badminton Piala Thomas di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di sini, Selasa.

Mengakui tertekan dengan situasi tidak diduga itu, Liew berkata, beliau kini perlu mempersiapkan diri untuk berdepan jaguh dunia seperti pemain nombor dua dunia, Lin Dan dari China atau pemain ranking kelima, Peter Hoeg Gade dari Denmark pada peringkat suku akhir pada Rabu.

"Keadaan kini menjadi lebih sukar kerana Chong Wei tak dapat bermain. Namun saya akan teruskan dan tidak akan mengalah," kata atlet berusia 25 tahun itu.

Liew (ranking ke-33 dunia) melakukan kejutan apabila mengetepikan pemain nombor ke-13 dunia Jan O Jorgensen dari Denmark, 21-15, 21-13 pada saingan kumpulan C kejohanan itu.

Penyumbang mata sulung negara dalam perlawanan Malaysia-Denmark itu berkata, kemenangan tersebut sedikit sebanyak meningkatkan keyakinannya.

"Sebelum ini, banyak pihak menyatakan saya tidak mampu menyumbang mata buat pasukan negara.

"Tetapi dalam perlawanan tadi, walaupun saya turun sebagai 'underdog', saya telah buktikan dapat bermain dengan baik," katanya.

Malaysia kalah 2-3 kepada Denmark pada perlawanan tersebut setelah Chong Wei menarik diri akibat kecederaan buku lali kanan ketika bertemu Peter Hoeg Gade dalam saingan perseorangan pertama.

Selain itu, dua beregu negara Tan Boon Heong/Hoon Thien How serta Koo Kien Keat/Goh Wei Shem turut tumpas kepada lawan masing-masing.

Tan/Hoon kecundang di tangan beregu nombor tiga dunia Carsten Mogensen/Mathias Boe, 17-21, 23-21, 11-21, manakala Koo/Goh terpaksa tunduk kepada beregu kedua Denmark, Jonas Rasmussen/Joachim Fischer Nielsen, 18-21, 15-21.

Satu lagi mata pasukan negara diraih perseorangan ketiga, Muhammad Hafiz Hashim yang mengalahkan Hans-Kristian Vittinghus, 17-21, 21-17, 21-17.

Dalam pada itu, jurulatih kebangsaan Rashid Sidek berkata, kecederaan Chong Wei tidak melemahkan semangat anggota skuad yang lain.

"Walaupun Chong Wei tidak dapat bermain, kita akan teruskan. Kejohanan ini merupakan pendedahan buat pemain-pemain muda dan juga merupakan peluang terbaik untuk mereka membuktikan kebolehan," katanya.

Rashid berkata, masih terlalu awal untuk menentukan tahap kecederaan Chong Wei, namun menurut pandangannya pemain nombor satu dunia itu mampu pulih dalam masa satu hingga dua minggu jika tiada bahagian otot yang terkoyak. - BERNAMA

Artikel Lain