suria

Cub Prix: Hafiza Serasi Bersama Honda

Hafiza Rofa
Hafiza Rofa
Hafiza Rofa

SELEPAS tiga pusingan bersama jentera baru Honda, Hafiza Rofa kini semakin yakin dan sudah bersedia untuk menghadapi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Bandar Mahkota, Banting.

Pelumba Faito YSP Racing ini berazam untuk merapatkan jurang mata dengan pelumba para pendahulu kategori WIRA memandangkan dia kini semakin selesa dengan perincian jentera Honda selepas beralih dari jentera Yamaha musim lalu.

Dia juga percaya dengan adanya sedikit penyelarasan dan pengubahsuaian pada jenteranya, dia berupaya meraih podium hujung minggu ini.

Berada di kedudukan ketujuh keseluruhan kategori Wira dengan kutipan 22 mata, Hafiza tertinggal 39 mata dibelakang pendahulu, Mohd Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) yang mendahului dengan 61 mata diikuti Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong Motorsports) ditempat kedua dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Motul Yamaha YY Pang) di tempat ketiga dengan catatan 38 mata masing-masing.

"Saya semakin selesa dengan jentera Honda. Ia mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri tetapi selepas perlumbaan di Kangar (pusingan 3) beberapa minggu lalu, saya merasa semakin berkeyakinan untuk bersaing dengan pencabar-pencabar WIRA di Banting,” ujar Hafiza.

Tambahnya, jika dinilai dari segi prestasi enjin, Honda boleh dikatakan agak kompetitif dan berkemungkinan besar setanding dengan jentera lain di luar sana.

"Bahagian yang agak rumit sedikit terletak pada pengendaliannya. Ia kurang sesuai dengan cara tunggangan saya dan ia sedikit sebanyak menjejaskan rentak saya semasa perlumbaan.

"Sebab itulah sehingga kini saya masih belum berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok lima terbaik.

"Walau bagaimanapun, masalah tersebut sudah diatasi oleh mekanik dengan mempertingkatkan sistem suspensi.

Dari segi persediaan, boleh dikatakan jentera Honda kami sudah 85 peratus bersedia tetapi kami perlu membuat sedikit pengubahsuaian bagi memenuhi kehendak litar Banting yang agak teknikal," katanya.

Hafiza berkata, tahun ini sasarannya ialah untuk muncul juara kategori Wira.

"Saya hendak memburu gelaran juara Wira bagi tahun 2012 ini. Perjalanan musim ini masih panjang dan kami pasti mampu memperbaiki kedudukan sekiranya saya terus mengutip mata maksima mulai sekarang, " jelasnya.

Maklumat lanjust sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS www.malaysiancubprix.com

Artikel Lain