KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak dapat memberi kelonggaran kepada pihak media berdasarkan kepada peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), kata Setiausaha FAM Datuk Azzuddin Ahmad."FAM meminta maaf kerana tidak dapat memberikan kelonggaran terhadap peraturan-peraturan yang telah diberikan oleh pihak Fifa," ketika diminta mengulas mengenai insiden di Stadium Shah Alam, Selasa lepas apabila pegawai FAM menghalang media tempatan melakukan temu bual di padang selepas perlawanan. Pegawai berkenaan dilaporkan berkeras meminta pihak media mengadakan temu bual di bilik sidang media."Memandangkan ia adalah perlawanan berstatus antarabangsa, di mana kita bermain dengan Singapura. FAM perlu akur dengan garis panduan mengenai media yang dikeluarkan oleh Fifa."Kalau terjadi apa-apa perkara sekiranya kita memberi kelonggaran itu. Kita tidak mahu media membuat temu bual ketika di bilik persalinan, ia sesuatu yang tidak elok. Begitu juga di tempat-tempat lain yang dilarang," katanya.Azzuddin ditemui pemberita pada majlis pelancaran penjualan tiket perlawanan persahabatan Arsenal menentang pilihan Malaysia di Jalan Telawi, Bangsar di sini, Khamis.Perlawanan persahabatan antarabangsa di antara pilihan Malaysia menentang Arsenal akan berlangsung pada 24 Julai depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.Dalam perkembangan sama, FAM dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis berkata badan induk bola sepak Malaysia itu sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak media untuk menjalankan tugas semasa membuat liputan perlawanan-perlawanan antarabangsa."Namun, FAM perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Antarabangsa yang dikeluarkan oleh Fifa terutamanya berkaitan dengan aspek keselamatan dan pada masa yang sama, FAM ingin memberi keselesaan kepada pihak media semasa membuat liputan."Menurut Garis Panduan Untuk Media yang dikeluarkan oleh Fifa, pihak media dilarang memasuki padang sebelum, semasa dan selepas permainan," kata kenyataan itu.Ia turut menyebut hanya Hos Penyiar dengan satu kamera dibenarkan memasuki padang permainan semasa lagu kebangsaan dimainkan dan sesudah tamat perlawanan."Media boleh temuramah pegawai pasukan di Bilik Sidang Media. Media juga boleh temuramah pegawai dan pemain di kawasan Mixed Zone yang disediakan," menurut kenyataan itu.Pihak media yang ingin mendapatkan salinan Garis Panduan Fifa itu boleh mendapatkannya daripada Jabatan Media FAM. - BERNAMA