Beregu campuran negara, Peng Soon dan Liu Ying (depan) dijangka mampu membuat kejutan pada Sukan Olimpik Julai nanti.KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yakin beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mampu mencipta kejutan pada temasya Sukan Olimpik, London pada Julai depan berdasarkan prestasi semasa gandingan tersebut.Ketua jurulatih skuad wanita dan beregu campuran negara, Rosman Razak berkata pasangan itu kini berada pada kedudukan kelapan terbaik dunia dan begitu bersemangat untuk melakarkan sesuatu pada penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik. "Ini kali pertama mereka menyertai temasya sukan Olimpik, itupun satu kejayaan, jadi saya percaya mereka berkobar kobar untuk beri yang terbaik untuk negara."Kita juga tidak menafikan pasangan dari China lebih konsisten, Indonesia juga tidak kurang hebat juga tetapi bagi saya mana-mana pasukan pun boleh buat kejutan pada Olimpik nanti," katanya, Selasa.Berbaki 38 hari menjelang Olimpik, Rosman berkata anak didik jurulatih Jeremy Gan itu kini tertumpu pada latihan taktikal sahaja dan tidak mahu membebankan mereka kepada latihan yang lebih berat."Masa makin hampir, jadi kami (jurulatih) tidak mahu mereka tercedera, kita juga tidak mahu memberi tekanan kepada mereka tentang sasaran di sana, baik kita tumpu untuk lepasi saringan satu persatu."Kecederaan Chan juga berada pada tahap yang paling minimum. Kita memang pantau keadaan beliau dari semasa ke semasa," katanya.Chan mula mengalami kesakitan pada tangan kanan semasa pasangan itu menyertai Kejohanan Terbuka India, April lalu.Pasangan itu kini sedang menyertai perlawanan Siri Super Terbuka Singapura yang bermula hari ini sehingga Ahad dan dijadualkan berlepas ke Bath University, United Kingdom bersama pemain lain bagi menjalani latihan fasa terakhir pada 12 Julai ini.Chan, 22, dan Goh, 24, mula digandingkan bersama pada tahun 2009, berjaya menempatkan diri mereka sebaris dengan pasangan beregu terhebat dunia apabila mencipta kejutan dengan muncul sebagai naib juara GP Emas Terbuka Australia sebelum ke separuh akhir kejohanan paling berprestij di dunia, Kejohanan All England dan muncul juara GP Emas Terbuka Malaysia tahun ini.Keserasian mereka kali ini akan diuji lagi di pentas sukan Olimpik, rakyat Malaysia dan negara sentiasa mahukan kejutan dan harapan yang disandarkan kepada mereka menjadi kenyataan.Berikut adalah antara kejayaan beregu muda itu pada tahun ini:TAHUN 2012GP Emas Terbuka Malaysia - Johan Siri Super Terbuka India - Suku AkhirGP Emas Terbuka Australia - Naib JohanTerbuka Switzerland - Suku Akhir Siri Super Premier All England - Separuh AkhirSiri Super Terbuka Malaysia - Separuh Akhir- BERNAMA