KUANTAN: Jurulatih antarabangsa Paul Revington dinamakan sebagai ketua jurulatih dan dibantu oleh bekas pemain negara Arul Selvaraj bagi memulihkan imej dan maruah pasukan hoki negara.Revington dan Arul, sebagai pembantunya, mula menjadi gandingan untuk melatih skuad Afrika Selatan pada 2006 sebelum membimbing skuad Ireland dari 2009 hingga bulan depan. Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mengumumkan pemilihan jurulatih Afrika Selatan itu, bagaimanapun, berkata perjanjian bertulis antara Revington dan MHC masih belum dimeterai."Surat perjanjian akan kita sampaikan kepada dia (Revington) dalam tempoh terdekat ini dan tertakluk pada persetujuan dia," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kampus Al-Quran di sini, Jumaat.Baginda berkata sekiranya segalanya berjalan lancar, jurulatih berkenaan dijangka mula melatih skuad hoki negara mulai Julai depan, selepas kontrak bersama pasukan Ireland tamat.Tengku Abdullah berkata jurulatih berkenaan akan menggalas cabaran pertama di Kejohanan 'Cabaran Juara' di Argentina pada November depan sebelum menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia pada tahun depan."Kita berharap menerusi jurulatih baharu itu, akan dapat membangkitkan semula pasukan kebangsaan dan dapat mengilap gandingan pemain muda dengan pemain yang mempunyai pengalaman," kata Tengku Abdullah.Ketika membimbing Afrika Selatan selama tiga tahun, Revington membantu pasukan itu memperbaiki ranking dunia dari 14 kepada tangga ke-10 dan kini pasukan itu layak ke Sukan Olimpik London 2012.Revington akan menggantikan Tai Beng Hai yang dilantik sebagai Pengarah Kejurulatih MHC dan diberi tugas menyelia program pembangunan remaja.Revington juga turut memenangi anugerah 'Jurulatih Terbaik Dunia FIH' 2011.- BERNAMA